Rabu, 29 Jun 2016 | 9:34pm

Operator kren maut terkena renjatan elektrik

BINTANGOR: Seorang lelaki maut selepas kren yang dikendalikannya tersentuh kabel elektrik di Tanjung Genting, di Jalan Bintangor-Sibu, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa, Liew Poh Khong, 32, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat renjatan elektrik bervoltan tinggi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 2.06 petang dan enam anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

"Difahamkan kejadian itu berlaku ketika mangsa sedang melakukan kerja-kerja mendirikan tiang elektrik baharu.

"Ketika melalui bawah kabel grid tenaga, kren yang dikendalikan mangsa tersentuh kabel aktif lalu berlaku renjatan," katanya.

Beliau berkata, operasi mengeluarkan mangsa itu mendapat kerjasama Syarikat Sesco Berhad dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

14 dibaca
Berita Harian X