Selasa, 11 November 2014 | 4:10pm

Pinjaman RM100 juta untuk usahawan ke pasaran global

KUALA LUMPUR: MARA dan Export-Import Bank of Malaysia Berhad (EXIM Bank) memeterai memorandum perjanjian untuk memperuntukkan dana pinjaman RM100 juta kepada usahawan tempatan menembusi pasaran antarabangsa.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata perjanjian itu dicapai bagi memberi peluang kepada 50 usahawan kecil dan sederhana tempatan memperoleh pembiayaan dalam bentuk pinjaman berjumlah RM300,000 hingga maksimum RM2 juta.


MENTERI Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor.

"Antara komponen yang menyulitkan usahawan tempatan menembusi pasaran global ialah dari segi kewangan, maka perjanjian ini memberi peluang kita menaja usahawan pelbagai bidang untuk menembusi pasaran luar," katanya di sini hari ini.

Permohonan untuk mendapatkan pinjaman itu sudah dibuka dan Mohd Shafie berharap usahawan kecil dan sederhana tempatan mengambil peluang untuk mendapatkan pinjaman ini.

EXIM Bank dipilih sebagai pembiaya kepada pinjaman ini berdasarkan pengalaman bank itu dalam membantu usahawan menjalankan perniagaan ke pasaran antarabangsa terutama dari segi import dan eksport.

Memorandum perjanjian dan memorandum persefahaman itu dimeterai Ketua Pegawai Eksekutif EXIM Bank, Datuk Adissadikin Ali, dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad sambil disaksikan Mohd Shafie serta Ketua Setiausaha KKLW Datuk Seri Ibrahim Muhammad.

Sementara itu, Adissadikin berkata EXIM Bank secara konsisten akan membantu usahawan tempatan meneroka perniagaan di luar negara melalui perkhidmatan pembiayaan dan khidmat nasihat.

"Usaha sama dengan MARA ini menyaksikan satu lagi inisiatif penting bagi meningkatkan kecekapan usahawan kecil dan sederhana tempatan," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X