Rabu, 29 Jun 2016 | 4:32pm

Pameran MATTA sasar jualan lebih RM200j pakej pelancongan


Presiden MATTA, Datuk Hamzah Rahmat.

KUALA LUMPUR: Lebih 100,000 pengunjung dijangka hadir pada Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) yang bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pada 2 hingga 4 September ini.

Presiden MATTA, Datuk Hamzah Rahmat, berkata pameran itu turut menawarkan pelbagai pakej pelancongan dalam dan luar negara yang menarik termasuk mereka yang ingin menunaikan umrah pada hujung tahun ini sempena musim cuti sekolah.

"Kita sentiasa memberi perhatian terhadap isu pengguna ditipu ejen pelancongan, justeru pameran MATTA ini menggalakkan orang ramai yang ingin menunaikan haji atau umrah untuk memilih ejen yang berdaftar bagi mengelak ditipu.

"Melalui Umrah Pavilion, pengunjung diberi jaminan bahawa mereka membeli pakej haji dan umrah daripada pengendali yang mempunyai lesen," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MATTA, Phua Tai Neng.

Hamzah berkata, pihaknya optimis menyasarkan lebih RM200 juta jualan pakej pelancongan kali ini berdasarkan rekod jualan pada pameran Mac lalu.

"Sebanyak 1,246 gerai pameran disertai organisasi pelancongan dari dalam dan luar negara dan pameran ini akan dirasmikan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman bagi memberi penghargaan berikutan negeri itu menjadi tumpuan pelancong domestik pada tahun ini," katanya.

Berita Harian X