Rabu, 29 Jun 2016 | 3:12pm

Zain Saidin hasilkan baju Melayu abang 'sado'


Zain Saidin turut mengeluarkan koleksi baju melayu selain kasut jenama ZapatoS.

KUALA LUMPUR: Selepas mengeluarkan kasut jenama ZapatoS, Zain Saidin melebarkan lagi empayar perniagaan dengan tampil bersama baju Melayu untuk lelaki sasa di bawah jenama Koleksi Ketak.

Katanya, idea menghasilkan persalinan lebaran untuk mereka yang berbadan 'sado' atau ketak muncul selepas dia sukar mencari baju Melayu siap disebabkan saiz serta ukuran yang menyebabkannya kurang selesa.

Suami Rozita Che Wan itu memaklumkan buat permulaan sebanyak 250 pasang saja diedarkan sebagai pengenalan yang dijual menerusi penyertaan di beberapa festival bazar.

"Buat masa ini kami keluarkan secara ekslusif dengan pilihan rona hitam, biru, hijau, merah dan ungu. Rekaan serta pemilihan bahan adalah ilham saya sendiri sekali gus menjadi permulaan untuk saya menambah portfolio sebagai pereka fesyen.

"Berbalik kepada seleksi tekstilnya, ia sesuai untuk lelaki dengan rangka sasa namun mereka yang kebiasaannya memakai saiz biasa juga boleh menggayakan Koleksi Ketak.

"Ia dijual bersempena sambutan Syawal pada harga RM170 sepasang manakala untuk pembelian dua pasang sekali gus, kita berikan harga istimewa sebanyak RM300. Tahun depan kami akan menghasilkan jubah pula," katanya yang merancang mengeluarkan sepatu wanita jenama ZapatoS.

Mengenai susuk tubuhnya yang kembali 'sado', Zain memaklumkan pernah mengalami masalah badan mengembang kerana tidak bersenam selama sembilan bulan berikutan pembedahan lutut tahun lalu.

"Mujur tubuh saya kembali ke bentuk idaman selepas empat bulan kebelakangan ini bersenam dengan fokus sejak awal tahun ini. Saya memang mahu nampak sasa kerana ia minat saya sejak dulu.

"Saya jenis jaga makan dan masak sendiri hidangan seperti ayam panggang atau telur rebus. Waktu malam pun saya lebih suka makan kekacang berbanding buah. Kalau mahu kurus cepat, saya sarankan ambil kekacang kerana kandungan khasiat mempercepatkan proses penurunan berat badan," katanya.

36 dibaca
Berita Harian X