Rabu, 29 Jun 2016 | 11:43am

Lebuhraya E22 tawar diskaun tol 10 peratus sempena Aidilfitri

JOHOR BAHRU: Senai Desaru Expressway Bhd (SDEB) menawarkan diskaun tol sebanyak 10 peratus kepada semua pengguna kenderaan Kelas 1 di Lebuhraya E22 sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

Ketua Pegawai Operasi SDEB, Mustaza Salim, berkata diskaun 10 peratus itu bermula pada jam 6 pagi pada 6 Julai ini sehingga 6 pagi keesokannya.

"Diskaun ditawarkan sempena sambutan Aidilfitri ini menjadi sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dianjurkan SDEB," katanya dalam satu kenyataan media, di sini hari ini.

Mustaza berkata, diskaun itu ditawarkan kepada semua pengguna kenderaan Kelas 1 sama ada yang membuat bayaran tol secara elektronik (ETC) di lorong Touch n Go dan SmartTag atau membuat bayaran tol secara tunai.

Bagaimanapun, katanya, pihak SDEB menggalakkan pengguna lebuh raya membuat bayaran tol secara elektronik supaya perjalanan lebih cepat dan selesa.

"SDEB berharap semua pengguna lebuh raya sentiasa mengamalkan pemanduan berhemah terutama pada cuti perayaan ini," katanya.

Berita Harian X