Selasa, 28 Jun 2016 | 4:50pm

Anak syarikat SapuraKencana peroleh kontrak RM513j


SapuraKencana Petroleum Bhd.

KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh SapuraKencana Petroleum Bhd memperoleh beberapa kontrak baharu dan lanjutan kontrak dengan nilai keseluruhan RM513 juta.

Syarikat itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, SapuraKencana Drilling Tioman Sdn Bhd diberi kontrak pembekalan pelantar penggerudian sokongan separa tenggelam 'SKD Berani' oleh Nippon Oil & Gas Exploration (Malaysia).

SapuraKencana Drilling turut memperoleh lanjutan kontrak bagi pembekalan pelantar penggerudian sokongan separa tenggelam 'SKD Jaya' daripada BP Trinidad & Tobago LLC, menurut syarikat itu.

Menurut SapuraKencana, anak syarikatnya yang lain, SapuraKencana HL Sdn Bhd, diberikan kontrak pemerolehan, fabrikasi, pembinaan, pemasangan dan kerja pengoperasian bagi projek menaik taraf kemudahan dan infrastruktur itu daripada BASF Petronas Chemicals Sdn Bhd.

SapuraKencana HL turut memperoleh kontrak daripada Selex ES Malaysia Sdn Bhd.

"Ia adalah bagi pembekalan reka bentuk kejuruteraan bahagian hadapan (FEED) serta kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan, pemasangan dan pengoperasian Sistem Sokongan Gelombang Pendek Radio (RS3) bagi Kemudahan Luar Pesisir Petronas di luar pantai barat Sabah," kata kumpulan itu.

Sementara itu, SapuraKencana Australia Pty Ltd memperoleh tiga kontrak - pembekalan pengantaraan telaga ringan daripada Woodside Petroleum Ltd, pembekalan kerja-kerja pemberhentian operasi daripada Woodside Energy Julimar Pty Ltd, dan pembekalan perkhidmatan pengantaraan telaga ringan daripada Shell Australia.

Bagaimanapun, kumpulan itu tidak menyediakan butiran nilai bagi kontrak baharu dan lanjutan kontrak dalam kenyataan berkenaan. - BERNAMA

70 dibaca
Berita Harian X