Selasa, 28 Jun 2016 | 3:52pm

Top Glove mula disenarai di SGX-ST

KUALA LUMPUR: Top Glove Corporation Bhd mula disenaraikan di papan utama Singapore Exchange Securities Trading Ltd (SGX-ST) hari ini.

Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata ia melaksanakan proses berkenaan dengan sasaran untuk menambah dan mewujudkan nilai bagi pemegang saham dan pihak yang berkepentingannya.

Penyenaraian sekunder itu juga dijangka meningkatkan capaian pelabur Top Glove serta mempelbagaikan asas pelaburnya, membolehkan syarikat meneroka platform baru bagi potensi mendapatkan dana pada masa depan, katanya.

Penyenaraian berkenaan membolehkan saham biasa sedia ada Top Glove disenaraikan dan disebut harga di Pasaran Utama Bursa Malaysia untuk disenaraikan dan disebut harga di papan utama SGX-ST melalui pengenalan.

Bursa Malaysia akan kekal sebagai bursa saham utama di mana saham Top Glove disenaraikan.

Susulan proses berkenaan, pemegang saham dengan saham Top Glove disebut harga di pasaran utama dan Bursa Securities akan dapat memindahkan saham berkenaan ke papan utama SGX-ST dan sebaliknya.

Top Glove berkata penyenaraian sekunder tidak membabitkan sebarang penerbitan saham baharu Top Glove. - BERNAMA

Berita Harian X