Selasa, 28 Jun 2016 | 2:46pm

YSB perlu RM130,000 setahun bantu pesakit buah pinggang


Tunku Panglima Besar Kedah merangkap Anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah (tengah) berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada pesakit yang mendapat rawatan hemodialisis, Jaafar Abu Bakar, 57, (kanan) di Pusat Rawatan Hemodialisis Tunku Sarina hari ini.Seramai 12 pesakit hemodialisis menerima sumbangan tersebut. - Foto BERNAMA

ALOR SETAR: Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) memerlukan dana lebih RM130,000 setiap tahun bagi membantu pesakit buah pinggang menjalani rawatan dialisis di dua pusat hemodialisis miliknya di Alor Setar dan Kulim.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan YSB, Datuk Dr Chong Joo Al berkata, jumlah dana itu diperlukan bagi membantu pesakit dialisis mendapatkan rawatan percuma terutama kepada pesakit miskin.

Katanya, setiap pusat dialisis terbabit sekurang-kurangnya memerlukan antara RM60,000 sehingga RM80,000 setahun bagi menampung pelbagai kos termasuk menyelenggara 24 buah mesin di dua pusat dialisis milik yayasan itu.

"Jumlah sebanyak itu sebenarnya belum mencukupi, namun YSB perlu berikhtiar untuk mencari dana kewangan melalui beberapa program termasuk Program Hari Penyayang yang diadakan setiap tahun.

"Kami juga menggalakkan pihak korporat menyalurkan dana kepada YSB bagi membantu 91 pesakit yang menjalani dialisis di dua pusat dialisis kami dan dijangka bertambah setiap tahun," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri YSB kepada pesakit dialisis di Pusat Rawatan Hemodialisis Tunku Sarina di sini, sebentar tadi.

Majlis itu disempurnakan oleh Pengerusi YSB, Tan Sri Tunku Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim.

Seramai 53 pesakit di pusat itu menerima sumbangan wang tunai serta kurma.

Sejak pusat itu dibuka pada 2006, YSB menjalinkan kerjasama dengan Gedung Penawar Sdn Bhd bagi mengendalikan pusat rawatan terbabit.

Berita Harian X