Isnin, 27 Jun 2016 | 10:33pm

UNIMAS jadi Perkampungan SUKMA Sarawak

KUCHING: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Kota Samarahan, dekat sini, akan dijadikan Perkampungan Sukan untuk Sukan Malaysia (SUKMA) ke-18 yang akan dianjurkan di negeri ini dari 17 hingga 31 Julai ini.

UNIMAS akan menjadi 'rumah' kepada lebih 5,000 atlet yang dijangka tiba di Sarawak untuk menyertai temasya sukan berkenaan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Negeri Sarawak (SSC) Dr Ong Kong Swee.

Beliau berkata atlet daripada 15 kontinjen negeri dan Brunei, yang menyertai temasya itu sebagai pasukan jemputan, akan tiba di sini secara berperingkat, bermula 15 Julai.

Dr Ong berkata kira-kira 1,000 pegawai teknikal akan ditempatkan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tun Abdul Razak di Kota Samarahan manakala pegawai pasukan akan menginap di dua hotel, iaitu Kuching Hilton dan Hotel Margareta.

Beliau berkata semua venue sudah bersedia digunakan kecuali persiapan akhir seperti pemasangan sistem bunyi, paparan papan dan sistem pencahayaan di beberapa venue, sementara gelanggang lain telah siap lebih awal daripada jadual.

"Setakat ini, kami berpuas hati dengan tahap persiapan di venue-venue pertandingan di Kuching, Sibu dan Miri," kata Dr Ong kepada Bernama di sini hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Morshidi Abdul Ghani, sebelum ini berkata kerajaan negeri membelanjakan RM350 juta bagi menaik taraf kemudahan sedia ada serta membina beberapa venue baharu untuk temasya sukan berkenaan yang akan diadakan di Kuching, Sibu dan Miri.

Kebanyakan venue dan kemudahan sudah sedia untuk digunakan, termasuk stadium utama (Stadium Sarawak) yang akan menjadi gelanggang bagi acara-acara utama.

Menteri Belia, Sukan dan Perpaduan Sarawak, Datuk Seri Michael Manyin Jawong berkata semua gelanggang sedia ada dan kemudahan pertandingan telah dinaik taraf ke tahap antarabangsa, dan padang hoki baharu juga telah dibina.

"Bagi memastikan setiap venue memenuhi spesifikasi antarabangsa, Sarawak telah menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menilai setiap venue pertandingan," kata Manyin.

Salah sebuah venue baharu ialah Pusat Akuatik Sarawak bernilai RM163 juta terletak bersebelahan Stadium Sarawak dan Negeri di Petra Jaya di sini, yang menjadi gelanggang acara renang dan terjun.

Selain pusat akuatik itu, venue boling padang yang terletak bersebelahan Stadium Perpaduan juga telah siap dengan menelan kos sebanyak RM6 juta.

Di samping itu, Pusat Skuasy Sarawak, yang dibina dengan kos RM7 juta serta lapangan memanah bernilai RM12 juta, juga telah siap April lepas, selain pusat boling terbesar di rantau ini, Pusat Boling Megalanes Emart Batu Kawah di Kuching.

Kemudahan baharu siap itu yang mempunyai 42 lorong, kini bersedia menjadi gelanggang acara tenpin boling, manakala Sibu akan menjadi tuan rumah acara badminton dan bola tampar, sementara Miri menganjurkan karate, sepak takraw dan pelayaran.

Sukma ke-18 akan mempertandingkan 24 jenis sukan - akuatik, memanah, olahraga, badminton, tenpin boling, berbasikal, bola sepak, hoki, karate, boling padang, pelayaran, menembak, silat, skuasy, sepak takraw, taekwondo, angkat berat, wushu, bola tampar, tinju, gimnastik, golf, petanque dan tenis.

Dr Ong berkata antara sukan yang akan bermula awal ialah bola sepak, gimnastik berirama, taekwondo dan karate.

Sarawak yang muncul juara keseluruhan edisi 1990, 1992 dan 1994, telah menyatakan hasrat untuk merampas kembali kejuaraan tersebut pada temasya kali ini. - BERNAMA

Berita Harian X