Isnin, 27 Jun 2016 | 5:50pm
ORANG ramai melihat dengan lebih dekat Proton Perdana baharu. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Reka bentuk dinamik, anggun


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak melancarkan Proton Perdana di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. Turut bersama Pengerusi Proton, Datuk Seri Syed Faisal Albar dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed. - Foto Fariz Iswadi Ismail

PROTON Perdana serba baharu, model dinanti-nantikan kemunculannya sejak sekian lama selepas heboh di media sosial, diperkenalkan di pasaran Malaysia dengan menampilkan reka bentuk berintegrasi, dinamik dan anggun.

Selepas menghentikan pengeluaran model itu pada 2010, PROTON Holdings Bhd, meneruskan agenda untuk memperkemaskan kehadirannya dalam pasaran automotif tempatan, khususnya dalam segmen D menerusi pelancaran Proton Perdana generasi ke-4 itu.

Jentera dibina oleh PROTON dengan kerjasama strategik bersama Honda Japan Ltd di bawah inisiatif perkongsian platform yang dibangunkan menerusi model generasi kelapan Honda Accord.

Namun, hanya platform dan rangkaian kuasa menggunakan model Accord, yang selebihnya adalah hasil tangan PROTON sendiri.

PROTON juga membuat penambahbaikan dari segi estetik dan aerodinamik untuk memenuhi keperluan pasaran semasa, sekali gus meningkatkan dari aspek pengendalian serta keselesaan kereta.


RUANG dalam Proton Perdana baharu yang luas. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

Dari segi rekaan, bahagian luar Perdana baharu ini diperkemaskan dengan perumah lampu utama projektor HID yang dihiasi jeriji 'sayap' dengan logo Proton.

Bahagian belakang didatangkan dengan gabungan lampu belakang LED, kit badan dengan spoiler, selain tampak mantap selepas ia dipadankan rim aloi 17 inci.

Ruang kabinnya lebih selesa selepas menggunakan kerusi multi-kontur dan ruang kaki serta kepala yang lebih luas. Ia juga diperhalusi dengan ciri terkini membabitkan stereng dengan butang pelbagai fungsi, skrin navigasi sesentuh, sistem audio skrin sesentuh dan penyaman udara dua zon.

Bagi varian 2.0 liter, ruang dalamannya diceriakan warna hitam, manakala gabungan Beige (kuning air) serta hitam untuk 2.4 liter.

Tempat duduk varian 2.0 dibaluti fabrik bersama kulit, manakala varian 2.4 pula dibalut kulit sepenuhnya. Tempat duduk penumpang hadapan Varian 2.4 juga dilengkapi larasan berkuasa empat hala dan pedal penukar gear di stereng.

Pemanduannya lebih mantap apabila menggunakan suspensi 'wishbone' bebas berganda di bahagian hadapan untuk meningkatkan daya cengkaman dan kestabilan lebih baik ketika membrek.

INFO:

Proton Perdana 2.0L

* RM113,438 (Solid), RM113,888 (Metalik)

* Enjin SOHC 4 silinder 16 injap

* 154 kuasa kuda

* Kilasan 189Nm

Proton Perdana 2.4L

* RM138,438 (Solid), RM138,888 (Metalik)

* Enjin DOHC dengan 4 silinder 16 injap

* 178 kuasa kuda

* Kilasan 222Nm.

Berita Harian X