Isnin, 27 Jun 2016 | 9:53am

Doktor parah dalam kemalangan di LPT2

CHUKAI: Seorang doktor parah apabila kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 324.8, Lebuh Raya Pantai Timur (LPT2), dekat Kerteh, tengah malam tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 12 tengah malam itu, Dr Tuan Badrulzaman Tuan Ismail, 28, yang bertugas di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (TAR),  Klang, patah kaki dan tangan kanan.

Beliau dikejarkan ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.

Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kereta jenis BMW dipandu mangsa terbabas dan melanggar penghadang lebuh raya di sebelah kiri.

Berikutan itu, kereta mangsa dikatakan berpusing beberapa kali di tengah lebuh raya terbabit. Pada masa sama, sebuah kenderaan pacuan empat roda yang gagal mengelak merempuh bahagian sebelah kiri kereta mangsa.

Pacuan empat roda terbabit turut terbabas dan berpusing lalu terhumban ke dalam longkang. Pemandunya, Abu Al Idqam Ismail, 32, bersama isteri, Nur Baiti Aqmar Mahmod, 32, dan anak lelakinya, Muhammad yang berusia 10 bulan hanya cedera ringan.

Difahamkan, ketika kejadian, Dr Tuan Badrulzaman dalam perjalanan dari Hulu Terengganu ke Klang, manakala tiga beranak terbabit yang menaiki pacuan empat roda itu dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuantan.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Paka, Mohd Anuar Khalid berkata, sepasukan lima anggota dengan sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian bagi membantu menyelamatkan mangsa kemalangan.

Berita Harian X