Selasa, 11 November 2014 | 9:06am

Real Sociedad ambil Moyes


Gaya spontan bekas pengurus Manchester United, David Moyes ketika pasukannya beraksi di Liga Perdana Inggeris, tahun lalu. - Foto REUTERS

MADRID: Kelab Sepanyol, Real Sociedad mengambil bekas pengurus Manchester United, David Moyes, sekali gus memberi peluang kepada pengurus dari Scotland itu menghidupkan semula kariernya selepas gagal dalam tugasan di Old Trafford.

Dalam kenyataan di laman webnya, Sociedad menyatakan ia "mencapai persetujuan dengan David Moyes untuk menjadi jurulatih pasukan utama hingga 30 Jun, 2016."

Ia ada tugas pertama Moyes selepas dipecat United musim lalu selepas mengurus pasukan itu selama 10 bulan apabila menggantikan Alex Ferguson yang bersara.

Moyes mengambil tugas di United selepas lebih sedekad mengendalikan pasukan Everton di mana beliau muncul sebagai antara pengurus utama British.

Sociedad yang berpangkalan di San Sebastian kini berada di tangga ke-15 Liga Sepanyol dengan 20 pasukan selepas kemenangan 2-1 ke atas Atletico Madrid di bawah kendalian jurulatih sementara semalam.

Kelab Basque itu akan mengumumkan pelan bagi memperkenalkan Moyes dan pasukan kejurulatihan hari ini.

Sociedad memecat bekas jurulatih, Jagoba Arrasate selepas hanya memenangi satu perlawanan daripada 10 perlawanan pertama dan gagal melayakkan diri ke peringkat kumpulan saingan Liga Europa.

Minggu lalu, Presiden Sociedad, Jokin Aperribay, berkata Moyes adalah antara empat calon yang akan mengambil alih tugas Arrasate. - AP

Berita Harian X