Ahad, 26 Jun 2016 | 12:17pm

4 pengedar ditahan, syabu dan heroin dirampas


KETUA Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin. - Foto Sharul Hafiz Zam

ALOR SETAR: Polis menahan empat lelaki dipercayai pengedar dadah dan merampas dadah jenis heroin serta syabu yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM14,000 dalam serbuan di sebuah motel di sekitar bandar raya ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, serbuan dilakukan kira-kira jam 1.30 petang Khamis lalu oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kota Setar melalui Ops Tapis.

Beliau berkata, ketika serbuan semua suspek berusia antara 29 hingga 46 tahun itu dikatakan sedang asyik membungkus dadah berkenaan dipercayai untuk diedarkan di pasaran sekitar bandar raya ini.

"Hasilnya, polis merampas 45 plastik lut sinar berisi heroin seberat kira-kira 560.2 gram dan 18 paket kecil mengandungi syabu seberat 20 gram.

"Semua suspek kini direman tujuh hari bermula semalam untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39A(1) akta sama," katanya pada sidang media di IPD Kota Setar, sebentar tadi.

Berita Harian X