Ahad, 26 Jun 2016 | 12:17am
PENYANYI rock lagenda, Amy Search kini gigih mengukuhkan jenama fesyen, Amy Search General Products & Co yang dilancarkan awal Ramadan lalu. - Foto Hairul Anuar Rahim
Amy dan anaknya, Nabila Huda.

Amy Search perkukuh jenama fesyen sendiri menjelang Aidilfitri

MELIHAT kesungguhan penyanyi rock legenda, Amy Search, mengukuhkan jenama fesyen, Amy Search General Products & Co yang dilancarkan awal Ramadan lalu, jelas bapa kepada pelakon, Nabila Huda itu begitu serius merencanakan perjalanan cabang bisnes terbaharunya.

Ditemui di kiosk jualannya di Publika, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur, baru-baru ini, Amy begitu teruja dengan sambutan yang diberikan pelanggan biarpun jenama itu masih terlalu baharu di pasaran.

Amy sempat berseloroh, dirinya tidak perlu lagi menyanyi jika sambutan memberangsangkan itu berterusan sehingga di luar musim perayaan.


JUBAH, kurta dan songkok Maulana yang direka eksklusif itu menampilkan identiti serta gayanya yang tersendiri untuk memastikan ia berbeza daripada rekaan sedia ada dalam pasaran.

Dikenali umum menerusi kredibiliti vokalnya yang tersendiri, Amy juga diakui peminat sebagai antara selebriti lelaki yang bijak berfesyen.

Keputusannya untuk mengeluarkan himpunan rekaan kurta dan jubah, selain meneruskan jualan songkok Maulana yang diperkenalkan sejak dua tahun lalu dilihat sebagai langkah tepat serta selari dengan minatnya.

Amy turut memperluaskan himpunan rekaan jenama itu dengan memperkenalkan kebarung klasik sebagai pilihan kepada peminat wanita.


PERSEMBAHAN Amy Search ketika Final Gempak Superstar 2016 di Pinewood Studio Iskandar Puteri. - Foto Hairul Anuar Rahim

Bidang perniagaan bukan cabang baharu bagi anak kelahiran Johor Bahru (JB) itu. Amy sebelum ini, pernah memulakan perniagaan makanan Cina Muslim dengan membuka Restoran Cheng Ho di Wangsa Maju namun hanya bertahan selama empat tahun.

Restoran yang dimulakan dengan modal RM250,000 terpaksa ditutup pada tahun 2012 disebabkan beberapa masalah.

"Dalam hidup, kita memang tidak akan lepas daripada ujian. Sebagai manusia, kita hanya perlu mencuba dan mencari apa yang bersesuaian dengan jiwa serta minat. Seperti melancarkan jenama fesyen ini, saya melihat kepada kesesuaian masa dan aliran hari ini apabila ramai selebriti memilih untuk mencuba perniagaan ini.

"Jika diikutkan, perniagaan ini bukan berlaku secara spontan dengan tujuan meraih keuntungan memandangkan umat Islam bakal menyambut hari raya. Perkara ini sudah lama bermain di fikiran, cuma baru sekarang ia menjadi kenyataan. Saya bertuah kerana dikurniakan Allah isteri yang tangkas membaca selok-belok permainan dunia perniagaan.

"Alhamdulillah, segala perancangan kami dipermudahkan. Sudah lama saya mengimpikan untuk memiliki jenama fesyen sendiri dan saya berharap, usaha ini akan menjadi permulaan yang baik untuk terus mengukuhkannya di hati penggemar rekaan bermutu," katanya.

Amy berkata, helaian jubah, kurta dan songkok Maulana yang direka eksklusif itu menampilkan identiti serta gayanya yang tersendiri untuk memastikan ia berbeza daripada rekaan sedia ada di pasaran.

"Ada di antara rekaan diinspirasikan dari negeri kelahiran saya iaitu Johor, malah songkok Maulana saya anggap sebagai identiti Amy Search General Producrt & Co. Memberi kelainan, songkok itu hadir dalam beberapa variasi termasuk corak 'camo' yang menjadi kegemaran pelanggan muda .


HIMPUNAN rekaan jenamanya kini turut memperkenalkan kebarung klasik sebagai pilihan kepada peminat wanita.

"Material yang dipilih juga selesa dan sedap dipakai. Secara keseluruhan, ia menggambarkan gaya dan cita rasa saya selama ini yang ingin saya kongsi dengan penggemar fesyen serta peminat.

"Realistik dengan permintaan pelanggan yang mahukan nilai dalam setiap pelaburan mereka, rekaan ini sesuai digayakan pada bila-bila masa dan tidak hanya terbatas pada musim perayaan. Kurta, jubah dan kebarung ini direka untuk kegunaan harian kerana ia selesa serta mudah disesuaikan dengan gaya hidup hari ini," katanya.

Amy berkata, pada masa sama, beliau sedang dalam perancangan untuk mengeluarkan produk masakannya yang akan dilancarkan, tidak lama lagi.

Dalam perkembangan lain, Amy memberitahu, Ramadan ini semakin bermakna apabila dapat berbakti kepada ibunya yang sejak beberapa bulan lalu menetap bersamanya.

"Ibu saya kurang sihat dan apabila dia bersetuju untuk tinggal bersama kami di sini, saya dapat memberikan lebih perhatian kepadanya. Disebabkan ibu ada bersama, kami sekeluarga belum membuat perancangan sama ada akan pulang berhari raya di JB atau hanya di sini.

"Insya-Allah saya mungkin akan bercuti raya selama dua minggu. Syawal tahun ini lebih meriah kerana menantu (suami Nabila) ada bersama. Dia bijak mengambil hati, malah sudah pandai menyediakan air katira yang cukup terkenal di JB," katanyas.

Berita Harian X