Sabtu, 25 Jun 2016 | 9:52pm

Pemecatan Muhyiddin, Mukriz tak jejas UMNO


BEKAS Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin. - Foto Iqmal Haqim Rosman

KLUANG: Pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak akan menjejaskan persiapan Barisan Nasional (BN) menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Naib Presiden UMMO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata beliau juga yakin Johor akan kekal sebagai kuat UMNO di sebalik episod pemecatan itu.

Katanya, isu pemecatan berkenaan mampu diselesaikan dengan memberi penjelasan terperinci kepada akar umbi mengapa tindakan berkenaan perlu dilakukan.

"Saya percaya jika semua pihak melihat isu ini (pemecatan) dengan rasional dan bukan secara emosi, ia tidak akan menjejaskan parti.

"UMNO perlu letak prinsip kepentingan parti melebihi kepentingan individu untuk kita terus maju ke hadapan.

"Saya yakin walaupun berlaku sedikit protes di Pagoh kita harap ia tidak menular. Walau akan ada sedikit cabaran, saya percaya UMNO Johor masih kukuh dan kuat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Rahmat Ramadhan, Khatam Al-Quran dan Majlis Kesyukuran Projek Jiwa Murni Parlimen Sembrong di Masjid Jamek FELDA Ulu Dengar, dekat sini, hari ini.

Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO semalam sebulat suara bersetuju memecat Muhyiddin dan Mukhriz atas kesalahan disiplin manakala seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal digantung keahlian.

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, dilaporkan berkata tindakan kedua-duanya yang berkempen di pihak pembangkang sehingga menjejaskan parti, begitu dikesali dan satu perbuatan tidak bertanggungjawab.

Berita Harian X