Sabtu, 25 Jun 2016 | 7:03pm

Lima beranak elak maut, kereta hangus selepas kemalangan


DUDE (kiri) dan Alif (kanan) bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

DUNGUN: Lima beranak sempat menyelamatkan diri selepas kereta mereka naiki terbabit kemalangan sebelum terbakar di Kilometer 58 Jalan Jerangau-Jabor, dekat Jerangau Felda, petang ini.

Dalam kejadian itu kira-kira jam 4.15 petang, kereta Totoya Wish dipandu Mohd Nor Mat Salleh, 50, dari arah Kuantan, Pahang ke Hulu Terengganu terbabas selepas melalui satu selekoh tajam di situ.

Berikutan itu kereta dinaiki keluarga terbabit yang berasal dari Ajil, Hulu Terengganu, terhumban ke longkang sebelum terbakar.

Kejadian menyebabkan anak Mohd Nor, Mohd Zulkarnain, 19, patah tangan kanan dan dibawa ke Klinik Kesihatan Jerangau Felda untuk rawatan lanjut.

Isterinya, Normaliza Sulaiman, 48, serta dua lagi anak mereka, Mohd Zaki, 23, dan Mohd Zafran, 9, hanya cedera ringan.

Ketua Polis daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Seorang anak mangsa, Mohd Zaki berkata, mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang dari Kuantan selepas membeli pakaian raya.

"Tiba di tempat kejadian kereta terasa seperti diangkat sebelum terbalik ke dalam longkang.

"Sejurus itu saya melihat api di bahagian enjin dan menarik ayah dan ibu keluar sebelum menyelamat adik yang lain," katanya ketika di temui di tempat kejadian.

Berita Harian X