Sabtu, 25 Jun 2016 | 4:38pm

MPK giat sita barang perniagaan

KLANG: Majlis Perbandaran Klang (MPK) sedang giat menjalankan operasi penguatkuasaan serta penyitaan barang perniagaan yang ditinggalkan di atas tanah milik kerajaan negeri.

Yang Dipertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin, berkata ia termasuk di kawasan yang sering menjadi lokasi aktiviti perniagaan tanpa lesen seperti di kaki lima dan bahu jalan.

"Antara lokasi yang banyak menerima aduan ialah sekitar Pulau Indah. Beberapa kawasan lain juga sudah dikenal pasti untuk tindakan selanjutnya. MPK tidak akan berkompromi dalam isu berkaitan barang peninggalan seperti ini kerana ia menyalahi undang-undang ditetapkan, selain menghalang laluan awam.

"Kebanyakan bahu jalan di kawasan sudah digunakan oleh pemilik premis untuk meletak barangan kitar semula, tanpa menghiraukan bahaya yang mungkin menimpa. Malah, ia juga boleh mendatangkan ancaman kesihatan kepada penduduk berhampiran," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad Yasid berkata, setakat ini hampir 20 tan barangan kitar semula disita dan tindakan diambil mengikut Seksyen 46 (1) (d), Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974, atas kesalahan halangan di atas tempat awam.

"Operasi ini turut membabitkan kerjasama Jabatan Penguatkuasa dan Jabatan Perkhidmatan Persekitaran (JPP) menggunakan lima lori dan sebuah jentolak," katanya.

Berita Harian X