Sabtu, 25 Jun 2016 | 3:18pm

Lelaki parah ditetak

NIBONG TEBAL: Seorang lelaki parah akibat ditetak sekumpulan lelaki bersenjatakan parang di sebuah rumah di Kampung Ah Choi, Batu Kawan di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintendan Shafee Abd Samad, berkata mangsa yang dikenali R Hananthan, 35, mengalami kecederaan dan kesan tetakan di bahagian bahu kiri.

Katanya, kejadian pada jam 8 malam itu berlaku apabila mangsa yang meletakkan kereta di hadapan sebuah rumah untuk menghadiri majlis kematian, tiba-tiba diserang empat lelaki bersenjatakan parang.

"Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati mangsa sempat masuk ke dalam kereta untuk menyelamatkan diri namun suspek bertindak memecahkan cermin kereta mangsa.

"Mangsa kemudian keluar dari keretanya dan akibatnya terkena tetakan ketika melarikan diri ke kawasan kampung untuk meminta pertolongan," katanya.

Beliau berkata, mangsa dan suspek dipercayai kenal antara satu sama lain namun punca rusuhan itu masih dalam siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Shafee berkata, mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk menerima rawatan dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil.

Berita Harian X