Sabtu, 25 Jun 2016 | 3:08pm

Arwah Hamizar anak yang baik, ramai kawan - Ibu


IQBAL Hamdi Mohd Hamizar, (dua dari kanan) melihat jenazah ayahnya , Mohd Hamizar Abd Hamid di kediamanya sebelum dikebumikan di Kampung Baru Cengkau Ulu, selepas terbabit dalam kemalangan di Persiaran Barat, Putrajaya malam tadi. - Foto Iqmal Haqim Rosman

REMBAU: Jenazah wartawan BH, Mohd Hamizar Abd Hamid, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kariah Chengkau Ulu di sini, sebentar tadi.

Jenazah Allahyarham tiba dari Hospital Putrajaya di rumah ibunya, Minah A Ghani, 72, di Kampung Baru Chengkau Ulu di sini, pada jam 12.45 tengah hari.

Jenazah kemudian disembahyangkan sebelum dikebumikan pada jam 2.45 petang berhampiran kubur arwah bapanya.

Kira-kira 200 ahli keluarga, saudara-mara dan rakan hadir di rumah keluarga dan tanah perkuburan. Turut hadir Eksekutif Editor Pengeluaran BH, Rosli Safar dan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar.

Mohd Hamizar, 43, meninggal dunia di Hospital Putrajaya selepas terbabit kemalangan motosikal di Persiaran Barat, Putrajaya, malam tadi.

Arwah meninggalkan balu, Norsuriaty Awang Hassim, 43, dan dua anak lelaki, Aliff Haikal, 15, serta Iqbal Hamdi, 12.

Sementara itu, ibu arwah ketika ditemui berkata, anak ketiga daripada empat beradik itu menunjukkan sifat lebih prihatin terhadap dirinya selepas kematian suami akibat kemalangan pada Februari lalu.

Katanya, kali terakhir dia bertemu anaknya itu pada hari kedua Ramadan apabila mereka sekeluarga pulang berbuka puasa di rumah.

"Dia seorang anak yang baik dan ceria. Sejak dulu memang suka berkawan dan membantu orang, sebab itu sehingga sekarang dia ramai kawan," katanya.

Berita Harian X