Sabtu, 25 Jun 2016 | 2:41pm

Rezeki Shiha murah berkat jaga ibu


PENYANYI, Shiha Zikir. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR : Penyanyi, Shiha Zikir bersyukur kerana rezekinya dalam bidang seni tidak pernah putus, berkat keikhlasannya mencari pendapatan untuk menyara keluarga.

Shiha atau nama sebenarnya, Nurshiha Mohd Zikir, 29, juga tidak ralat apabila namanya masih belum gah di negara sendiri biarpun sudah lama berkecimpung dalam bidang seni.

"Bukan mahu mendabik dada, tetapi Alhamdulillah rezeki saya setakat ini tidak putus. Ada saja undangan untuk memeriahkan acara dan majlis tertutup.

"Mungkin kerana saya bekerja mencari rezeki dan menjaga ibu, Allah membuka luas peluang saya mencari pendapatan. Biarlah tidak popular, saya percaya rezeki itu sentiasa ada," katanya.

Dalam perkembangan terbaharu, Shiha sedang sibuk mempromosikan single berjudul Seperti Novel Cinta karya Ajai. Dia bersyukur single keenamnya itu diterima baik peminat.

"Walaupun ada yang menyangka ini adalah pertaruhan pertama saya, namun sebenarnya ia adalah single keenam saya. Mungkin sebelum ini, lagu nyanyian saya kurang diputarkan radio hingga menyebabkan peminat tidak tahu saya pernah merakamkan beberapa lagu.

"Ada hikmah apabila saya menyertai pertandingan nyanyian di Indonesia. Sedikit sebanyak, ia membuka ruang untuk saya terus menempa nama sebagai anak seni," kata Shiha.

Shiha menduduki tempat ketiga dalam program realiti nyanyian Indonesia, D'Academy Asia yang berakhir pada Disember tahun lalu.

66 dibaca
Berita Harian X