Sabtu, 25 Jun 2016 | 9:16am

Sultan Kelantan agih zakat RM150,000 kepada 500 penerima


SULTAN Kelantan, Sultan Muhammad V.

PASIR PUTEH: Majlis Jaksa Pendamai (JP) Kelantan mengagihkan zakat sebanyak RM150,000 kepada 500 penerima daripada golongan asnaf di jajahan ini, malam tadi.

Sultan Kelantan Sultan Muhammad V berkenan menyempurnakan agihan zakat berkenaan kepada golongan terbabit selepas selesai menunaikan solat Tarawih di Masjid Kuala Semerak, Semerak, di sini.

Turut berkenan mengagihkan zakat itu, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Dr Muhammad Fa-iz Petra.

Sultan dan Tengku Mahkota turut menunaikan berbuka puasa, solat Maghrib, Isyak dan berjemaah yang diimamkan Imam Tua masjid berkenaan, Che Ghani Che Manan.

Hadir sama berbuka puasa dan menunaikan solat bersama baginda ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob; Presiden Majlis JP Kelantan, Datuk Faizoull Ahmad dan Ketua Jajahan Pasir Puteh, Mohd Anis Hussin.

Tuanku Sultan Kelantan bersama rombongan kemudian menunaikan solat sunat Tarawih sebanyak lapan rakaat yang diimamkan Imam Muda Tahfiz, Mohd Hilmi Che Ghani.

Ketika ditemui pemberita selepas agihan zakat itu, Faizoull berkata, zakat itu hasil usaha Majlis JP Kelantan mengumpul sumbangan daripada pelbagai pihak.

"Program tahunan yang dijalankan setiap bulan Ramadan ini dilakukan mengikut jajahan di Kelantan. Tahun ini, Jajahan Pasir Puteh dipilih dan jumlah agihan zakat yang disempurnakan Tuanku Sultan bergantung kepada jumlah wang yang kita kumpul," katanya.

Berita Harian X