Jumaat, 24 Jun 2016 | 7:18pm
PDRM logo

Remaja digilis lori buat pusingan U

KOTA BHARU: Seorang remaja lelaki maut digilis lori yang membawa muatan ayam manakala rakannya parah dalam kemalangan di Jalan Kota Bharu-Pasir Puteh, di Kampung Padang Kala, Melor, dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 12.08 tengah malam itu, Nik Muhammad Azman Rosli, 17, membonceng motosikal jenis Honda EX5 ditunggang rakannya, Ku Mohd Dainiel Ku Zahizam, 16, dari arah Melor ke Pasir Tumboh.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Baharom Abu, berkata lori terbabit cuba membuat pusingan U di kawasan tidak dibenarkan.

Pada masa sama, katanya, motosikal dinaiki dua remaja itu dari arah sama tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian kanan lori berkenaan.

"Akibatnya, motosikal mangsa terhimpit dan jatuh di jalan sebelum diseret hingga ke laluan bertentangan menghala ke Melor, menyebabkan mangsa maut di lokasi kejadian.

"Rakannya yang parah dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk rawatan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Difahamkan, pemandu lori berkenaan cedera dipukul orang ramai dan dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan.

Baharom berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X