Jumaat, 24 Jun 2016 | 2:25pm
TEBUSAN Filipina yang ditawan militan Abu Sayyaf di selatan negara itu dibebaskan pada Jumaat.

Militan Filipina bebaskan tebusan

JOLO: Tebusan Filipina yang ditawan militan Abu Sayyaf di selatan negara itu dibebaskan pada Jumaat, kata polis, seminggu selepas teman lelakinya, seorang rakyat Kanada, dipenggal kepala oleh anggota pergerakan itu.

Marites Flor ialah antara empat orang yang diculik sembilan bulan lalu oleh Abu Sayyaf yang mendapat jutaan dolar daripada hasil penculikan sejak beberapa tahun ini.

Pasangan Flor, Robert Hall, dibunuh selepas tarikh membayar tebusan berakhir minggu lalu, menyusul pembunuhan serupa seorang lagi tebusan Kanada, John Ridsdel, pada April.

Flor dibebaskan di Sulu, kepulauan terpencil dikenali sebagai tempat persembunyian militan, kata Wilfredo Cayat.

Cayat tidak memberikan butiran mengenai pembebasannya kecuali Flor ditinggalkan di luar rumah ahli politik tempatan, Abdusakur Tan, di Jolo, pulau utama di Sulu.

"Beliau dibebaskan awal pagi di satu tempat di Sulu dan dibawa ke rumah gabenor. Saya tidak tahu jika tebusan dibayar," katanya.

Nasib tawanan Norway, Kjartan Sekkingstad, yang diculik bersama-sama mereka, masih tidak diketahui.

Mereka diculik September lalu dari kapal layar di pulau Samal, kira-kira 500 kilometer ke barat Sulu. - AFP

58 dibaca
Berita Harian X