Isnin, 10 November 2014 | 4:56pm

MH370: Rakyat China tidak lagi berprasangka terhadap Malaysia - Duta


DUTA Besar Malaysia ke China, Datuk Iskandar Sarudin ketika sidang media bersama wartawan Malaysia bersempena Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Beijing. - Foto BERNAMA

BEIJING: Rakyat China tidak berprasangka terhadap Malaysia, sebaliknya semakin terbuka dan positif berhubung insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 sejak 8 Mac lalu yang mana sebahagian besar penumpang adalah rakan senegara mereka.

Duta Malaysia ke China, Datuk Iskandar Sarudin, berkata memang diakui pada peringkat awal insiden berkenaan, reaksi sebilangan masyarakat China, khususnya anggota keluarga mangsa, adalah negatif.

Namun, katanya, setelah lima bulan insiden itu berlalu, persepsi masyarakat China terhadap Malaysia semakin positif, malah sehingga Ogos lalu terdapat peningkatan empat peratus aliran keluar masuk rakyat kedua-dua negara termasuk pelancong dan pelajar.

"Secara keseluruhannya, saya boleh menyatakan bahawa dari segi persepsi, kini tiada lagi prasangka buruk terhadap kerajaan sama ada Malaysia atau China mengenai cara kita menangani insiden MH370," katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia di pejabat sekretariat Malaysia bagi forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di sini, hari ini.

Iskandar berkata, bagi meningkatkan lagi keyakinan rakyat China, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan telah mengadakan pelbagai aktiviti dan promosi untuk menarik semula kedatangan pelancong ke Malaysia.

"Bilangan penghantaran pelajar kedua-dua negara juga meningkat dengan kini terdapat 700 penuntut Malaysia di sini manakala seramai 8,000 pelajar China di Malaysia," katanya.

Iskandar berkata, dalam bidang pertanian, kerajaan China telah menunjukkan sikap yang positif dan baik apabila membenarkan semula kemasukan produk berasas sarang burung siap dimakan dari Malaysia dan langkah itu telah mendapat sambutan menggalakkan.

Katanya, hasil pertanian lain dari Malaysia termasuk durian juga kembali mendapat sambutan baik di pasaran China.

"Kita sedang berunding untuk menambah lagi produk pertanian Malaysia memasuki pasaran China," katanya.

Iskandar berkata, perbincangan juga sedang dijalankan dengan kerajaan China untuk kembali membenarkan sarang burung mentah dari Malaysia yang dilarang kemasukannya sejak dua tahun lalu, untuk kembali berada di pasaran negara ini.

"Pada masa ini, sarang burung yang belum siap untuk dimakan tidak boleh dieksport ke China kerana penyelidikan pihak Kementerian Kesihatan negara ini mendapati kandungan nitrat di dalamnya tidak sesuai untuk kesihatan.

"Ketika ini, China hanya membenarkan produk sarang burung yang telah siap dimakan dan sarang burung yang telah dibersihkan untuk dijual di sini, jadi kita di peringkat membincangkan isu ini sehingga masalah kandungan nitrat itu selesai," katanya.

Iskandar menjelaskan, Malaysia adalah negara tunggal yang dibenarkan oleh China mengeksport produk sarang burung secara sah ke negara ini dan kedua-dua negara mempunyai protokol dan prosedur berkaitan.

Berita Harian X