Khamis, 23 Jun 2016 | 11:06am

Mastura mulakan tugas di pejabat Parlimen Kuala Kangsar


AHLI Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid (kanan) bersama anak sulungnya, Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar ketika Ahli Parlimen Kuala Kangsar yang baharu dipilih, Datin Mastura Mohd Yazid memulakan tugasnya di Pusat Khidmat Parlimen Kuala Kangsar hari ini. - Foto Supian Ahmad

KUALA KANGSAR: Ahli Parlimen Kuala Kangsar yang baharu dipilih, Datin Mastura Mohd Yazid memulakan tugasnya di Pusat Khidmat Parlimen Kuala Kangsar hari ini.

Beliau tiba di pejabat kira-kira jam 10 pagi diiringi anak sulungnya, Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar.

Mastura hadir bertugas di pejabat khidmat Parlimen selepas berpuas hati dengan penerangan, pandangan dan garis panduan yang diberikan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berhubung kaedah menjalankan tugas dalam keadaan masih dalam tempoh edah.

"Sebenarnya saya nak ke pejabat sejak Isnin lagi, tetapi memandangkan Isnin dan Selasa pejabat tutup dan cuti kerana baru selesai PRK (Pilihan Raya Kecil), saya tangguhkan dahulu.

"Ini hari pertama saya ke pejabat dan saya terharu kerana inilah jejak yang ditinggalkan Allahyarham Datuk Wan Khair-il Anuar (Wan Ahmad) setiap kali dia masuk ke pejabat.

"Ini tanggungjawab besar bagi diri saya mengorak perjalanan memberikan khidmat bakti kepada orang Kuala Kangsar," katanya di sini, hari ini.

Turut bersama di pejabat khidmat Parlimen Kuala Kangsar ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Chandan, Maslin Sham Razman.

Mastura agak teruja memberikan perkhidmatan sebagai Ahli Parlimen kerana banyak perkara perlu dilaksanakannya dalam tempoh terdekat, termasuk yang berkaitan janji dan manifesto pilihan raya.

"Saya perlu bekerja keras melaksanakan semua yang sudah dijanjikan kerana tidak punya banyak masa untuk selesaikan masalah dan kehendak rakyat Kuala Kangsar," katanya.

Berita Harian X