Rabu, 22 Jun 2016 | 2:18pm

6 guru di Melaka terbabit jenayah, dibuang kerja


EXCO Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Md Yunos Husin. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

AYER KEROH: Enam guru di bawah Kementerian Pendidikan di Melaka dibuang kerja selepas didapati terbabit dalam kesalahan jenayah bagi tempoh tahun 2013 hingga 2015.

EXCO Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Md Yunos Husin, berkata semua guru itu masing-masing dibuang kerja dengan tiga daripadanya tidak hadir bertugas, dadah (2) dan kes rasuah (1).

"Enam lagi guru di bawah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) turut ditamatkan perkhidmatan bagi tempoh sama," katanya pada persidangan kedua penggal keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-13 di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Md Yunos (BN-Ayer Molek) berkata, tiga lagi guru di bawah kementerian di negeri itu hanya diambil tindakan tatatertib (tahan gaji dan kenaikan pangkat) apabila dua daripadanya tidak hadir bertugas tanpa kebenaran, manakala seorang lagi bergiat aktif dalam politik tanpa kebenaran bagi tempoh 2010 hingga 2015.

"Bagaimanapun, tiada guru JAIM diambil tindakan bagi tempoh sama juga," katanya.

Beliau berkata, seramai 69 guru dengan 63 daripada kementerian dan tiga dari JAIM mempunyai 15 masalah kesihatan antaranya kesihatan mental, barah, saraf, angin ahmar, kencing manis dan sakit tulang belakang.

Sementara itu, menjawab soalan Khoo Poay Tiong (DAP-Ayer Keroh) mengenai pembabitan guru dalam politik, Md Yunos berkata, setiap pegawai yang mahu berbuat demikian perlu meminta kebenaran ketua jabatan masing-masing supaya boleh bergiat aktif.

"Bagaimanapun, pegawai kerajaan dari kelas A dilarang bergiat dalam politik dan mereka hanya boleh jadi ahli bagi sesebuah parti politik," katanya.

11 dibaca
Berita Harian X