Rabu, 22 Jun 2016 | 12:48pm

TMJ hadir Majlis Khatam al-Quran Peringkat Negeri


TUNKU Ismail Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan sumbangan kepada 10 asnaf dan fakir miskin pada Majlis Khatam al-Quran dan Program Membudayakan al-Quran Peringkat Negeri kali ke-21 di Mersing, hari ini. - Foto Mohd Sah Muda

MERSING: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan menghadiri Majlis Khatam al-Quran dan Program Membudayakan al-Quran Peringkat Negeri kali ke-21, di Masjid Bandar Mersing di sini, malam tadi.

Pada majlis itu, Tunku Ismail turut menyampaikan sumbangan kepada 10 asnaf dan fakir miskin di daerah ini sempena menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

Terdahulu, Tunku Mahkota Johor menghadiri majlis berbuka puasa dengan masyarakat setempat.

Tunku Ismail diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abdul Mutalip Abdul Rahim dan Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Nooh Gadut.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, penganjuran program Membudayakan al-Quran itu dapat mengeratkan jalinan ukhwah sesama umat Islam selain melipatgandakan segala amalan di bulan Ramadan.

"Ini adalah waktu untuk kita melakukan amal ibadat termasuk membaca dan bertadarus al-Quran selain berselawat, zikir serta mengimarahkan masjid dan surau," katanya.

Berita Harian X