Selasa, 21 Jun 2016 | 12:06am
DOTTIE (kiri) bergambar bersama pelakon lain pada majlis berbuka puasa bersama pelakon filem Surf, I Love You dan Pertubuhan Kebajikan Islam Peribadi Mulia anjuran Global Solution Resources di Dewan Bankuet UPM. - Foto Munira Abdul Ghani
DOTTIE bertunang pada bulan lalu di kediaman keluarganya di Puchong, Selangor. - Foto Munira Abdul Ghani
DOTTIE belum bersedia untuk mendedahkan secara terperinci mengenai insan yang bertakhta di hatinya itu. - Foto Munira Abdul Ghani

Dottie naik pelamin hujung tahun


TANPA disangka, pertanyaan mengenai persiapan menyambut Aidilfitri membuka cerita lebih bersifat peribadi bagi pelakon comel, Nor Syuhaida Abd Razak atau lebih dikenali sebagai Dottie.

Ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Global Solution Resources Sdn Bhd bersama pelakon filem Surf This Love di Serdang, Ahad lalu, dia memaklumkan dirinya akan berkahwin.

Gadis kelahiran Taiping, Perak ini juga sempat menunjukkan cincin pertunangan yang tersarung kemas di jari manis. Katanya, dia bertunang pada bulan lalu di kediaman keluarganya di Puchong, Selangor.

Paling awal, kata Dottie, 28, dia dan tunang akan diijabkabulkan pada hujung tahun ini dengan majlisnya dijangka dilangsungkan di Putrajaya.

"Nampaknya, saya perlu melakukan dua persiapan dalam masa terdekat ini, masing-masing persiapan raya dan untuk majlis kahwin. Begitupun, sudah tentu saya dahulukan persiapan menyambut 1 Syawal. Selepas Hari Raya nanti, bolehlah saya fikirkan untuk persiapan kahwin pula," katanya sambil tersenyum.


DOTTIE dan pasangan akan diijabkabulkan pada hujung tahun ini dengan majlisnya dijangka dilangsungkan di Putrajaya. - Foto Munira Abdul Ghani

Dia yang mula mencipta nama menerusi drama Dottie (yang terus melekat sebagai namanya sehingga kini) berkata, majlis pertunangan mereka juga diadakan secara kecil-kecilan.

"Saya tidak menghebahkan pun majlis pertunangan ini di laman sosial," katanya.

Cerita Dottie, lelaki yang berjaya menawan hatinya itu dikenalinya tidak sampai setahun sebelum masing-masing bersetuju untuk membawa perhubungan ke peringkat lebih serius.

Bagaimanapun, gadis ini belum bersedia untuk mendedahkan secara terperinci mengenai insan yang bertakhta di hatinya itu.

"Dia orang biasa saja dan bekerja sendiri," katanya yang enggan memanjangkan cerita terbabit.

Mengenai kerjaya, pelakon yang pernah berada dalam kelompok Top 5 kategori Artis Komedi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH 2014 (ABPBH 2014) itu sebenarnya masih aktif di bidang seni. Sekalipun namanya dilihat seperti tenggelam-timbul, Dottie masih berlakon secara sepenuh masa.


PELAKON, Shukri Yahya (dua dari kiri) dan Dottie (tengah) menyampaikan sumbangan kepada anak-anak Pertubuhan Kebajikan Islam Peribadi Mulia pada majlis berbuka puasa bersama pelakon filem Surf, I Love You anjuran Global Solution Resources di Dewan Bankuet UPM. - Foto Munira Abdul Ghani

DOTTIE berlakon sejak 2010, dia sudah muncul dalam banyak drama dan telefilem. - Foto Munira Abdul Ghani

Mula berlakon sejak 2010, dia sudah muncul dalam banyak drama dan telefilem. Selain itu, Dottie juga membintangi filem Hantu Bonceng, Pada Suatu Cinta Dahulu, Pilot Cafe dan terbaharu, Surf This Love, yang diterajui Shukri Yahaya dan Cristina Suzanne.

"Saya memang tidak pernah berhenti berlakon. Bagaimanapun, mungkin tidak banyak liputan mengenai drama lakonan saya, jadi ramai yang kurang menyedarinya. Dalam hal ini, saya tidak terasa hati pun.

"Alhamdulillah, tawaran untuk saya masih ada dan orang pun masih mengenali saya. Cuma, biasalah cerita atau publisiti mengenai saya agak kurang. Mungkin juga saya tiada gosip dan kontroversi panas.

"Saya bagaimanapun ok saja dengan cara begini. Tidak dinafikan kontroversi ada kala membantu. Begitupun saya lebih selesa menghindari cerita yang kurang baik, sebaliknya biarlah kerjaya saya yang berbicara. Saya anggap, mungkin belum ada tuah untuk saya benar-benar menyerlah. Saya takkan berputus asa, malah akan terus mencuba dan berlakon, sekali gus mencipta nama. Insya-Allah," katanya.

Berita Harian X