Selasa, 21 Jun 2016 | 12:02am
PENIAGA, Salim Brahim, 58, sudah 20 tahun berniaga hidangan sotong tutok berhampiran Jambatan Satok.. - Foto Sandra Albertz
BAZAR Ramadan jadi lokasi tumpuan bagi pengunjung dapatkan juadah berbuka di Sarawak dan Sotong Tutok adalah antara juadah wajib di setiap lokasi. Foto Farizul Hafiz Awang
BEKALAN untuk menghasilkan Sotong Tutok diperoleh dari Thailand pada harga RM88 sekilogram.
PENYEDIAAN Sotong Tutok memang unik termasuk dibakar menggunakan bara arang.
PENIAGA mampu menjual purata antara 30 hingga 40 ekor 'Sotong Tutok' setiap hari sepanjang Ramadan.
HARGA 'Sotong Tutok' yang siap diproses dijual bergantung saiz.

Sotong Tutok hidangan istimewa Ramadan di Sarawak


KUCHING: Penyediaannya memang unik termasuk dibakar menggunakan bara arang, sebelum diketuk dengan tukul besi, membuatkan 'Sotong Tutok' cukup istimewa, selain dijadikan juadah pembuka selera sepanjang Ramadan di Sarawak.

Setiap kali tiba Ramadan, hidangan itu pasti menjadi pilihan penduduk Bumi Kenyalang, malah hampir kebanyakan Bazar Ramadan menjual 'Sotong Tutok'.

Peniaga, Salim Brahim, 58, dari Kampung Bintawa Ulu di sini, mampu menjual purata antara 30 hingga 40 ekor 'Sotong Tutok' setiap hari sepanjang Ramadan.

"Ia hanya sotong kering yang dipanaskan seketika di atas bara arang sebelum diketuk berulang kali menggunakan tukul besi sehingga isinya yang liat, bertukar lembut dan mudah dikunyah.

"Ia kelihatan sekadar hidangan ringkas, namun tunggu sehingga anda menjamah dan merasai kelazatannya, lebih-lebih lagi apabila dimakan bersama sambal," katanya.

Salim adalah di antara antara peniaga yang memeriahkan Bazar Ramadan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) di Taman Mini Satok.

PENYEDIAAN Sotong Tutok unik kerana dibakar dengan bara arang sebelum diketuk dengan tukul besi bagi melembutkan isi sotong. - Foto Sandra Albertz

PERMINTAAN kepada Sotong Tutok lebih tinggi sepanjang Ramadan. - Foto Sandra Albertz

Beliau berkata, harga seekor 'Sotong Tutok' yang siap diproses dijual pada harga RM7 hingga RM10 seekor bergantung saiz yang bekalannya diperoleh dari Thailand.

Berikutan permintaan tinggi terhadap hidangan itu, tahun ini beliau mendapatkan lebih banyak bekalan sotong kering dari pembekal di Thailand pada harga RM88 sekilogram, untuk menampung keperluan sepanjang Ramadan.

"Saya juga menjual 'Sambal Sotong Tutok' yang bukan hanya boleh menyedapkan lagi hidangan sotong terbabit, malah turut enak dimakan dengan makanan laut lain," katanya.

Sambal yang dijualnya pada harga RM11 sebotol sentiasa laris bersama 'Sotong Tutok' berdasarkan pengalamannya berniaga makanan itu sejak 20 tahun lalu dengan membuka gerai kekal di Pusat Penjaja Aneka Rasa berhampiran Jambatan Satok.

SOTONG Tutok dibakar menggunakan bara arang, sebelum diketuk dengan tukul besi, manakala gambar kanan juadah pembuka selera dan lazat dimakan bersama sambal.

SOTONG kering bahan utama menu Sotong Tutok.

INFO

  • 30 hingga 40 ekor sotong dijual sehari
  • RM7 hingga RM10 - harga jualan seekor sotong tutok
  • RM88 sekilogram - bekalan sotong kering dari Thailand
  • Tutok bermaksud 'ketuk' dalam Bahasa Melayu Sarawak
Berita Harian X