Isnin, 20 Jun 2016 | 10:56pm

Pemilikan tunggal mampu kukuhkan kedudukan AirAsia


PENGASAS Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes. - Foto Munira Abdul Ghani

SEPANG: Rancangan AirAsia untuk menggabungkan semua unit serantaunya menjadi sebuah entiti tunggal adalah bermatlamat bagi membentuk sebuah syarikat penerbangan tambang murah yang benar-benar berstatus global.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, berkata industri penerbangan dunia, khususnya di Eropah ketika ini berhadapan proses penggabungan antara syarikat bagi mewujudkan sebuah entiti yang lebih berdaya saing.

"Adakah ASEAN benar-benar memerlukan sehingga 10 syarikat penerbangan? Jika anda perhatikan di Eropah sekarang ini, banyak syarikat sudah bergabung.

"British Airways memiliki Iberia, membeli Aer Lingus. Begitu juga Air France dan KLM. Banyak lagi yang sedang berlaku. Justeru, kami sedang mengusulkan mengenai pemilikan tunggal.

"Ini bermakna Lion Air boleh memiliki Malindo, VietJet mempunyai penerbangan di Thailand. Inilah masanya untuk ASEAN memiliki syarikat penerbangan ASEAN yang mempunyai pemilikan tunggal," katanya dalam temu bual bersama wartawan kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd, di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pandangannya mengenai penubuhan Value Alliance, iaitu pakatan antara syarikat penerbangan serantau yang tidak disertai oleh AirAsia.

Tony dalam temu bual itu berharap supaya pihak kawal selia yang berkaitan boleh menimbangkan cadangan AirAsia untuk mempromosikan pemilikan tunggal bagi syarikat penerbangan.

"Bank seperti CIMB Bank boleh memiliki pemilikan 100 peratus, begitu juga Axiata Group Bhd di Indonesia boleh mendapat pemilikan sepenuhnya. Mengapa syarikat penerbangan di ASEAN perlu bersaing sesama sendiri?" katanya.

Perkembangan itu juga, katanya, membolehkan penggabungan antara dua syarikat penerbangan negara iaitu Malaysia Airlines Bhd (MAB) dan Singapore Airlines (MSA), sesuatu yang sangat wajar dipertimbangkan pada masa sekarang.

Menjelas lanjut mengenai Value Alliance, Tony berkata AirAsia tidak dipelawa menyertai pakatan itu, begitu juga dengan JetStar.

Beliau berpandangan pakatan berkenaan ditubuhkan secara tergesa-gesa dan dilihat sebagai satu cubaan terdesak untuk mewujudkan persaingan baharu dengan AirAsia, AirAsia X dan JetStar.

"Syarikat penerbangan yang kukuh tidak memerlukan (pakatan) kerana ia merumitkan. Jika anda mahu terbang dari Tokyo ke Pulau Pinang menggunakan Value Alliance, anda terpaksa menggunakan empat penerbangan tambang murah iaitu dari Tokyo ke Hong, Hong Kong ke Singapura dan Singapura ke Pulau Pinang.

"Sebaliknya, jika menggunakan perkhidmatan AirAsia X, anda hanya perlu melalui Tokyo ke Kuala Lumpur dan Kuala Lumpur terus ke Pulau Pinang. Namun, jika terdapat satu pemilikan tunggal, maka penubuhan Value Alliance sebenarnya adalah wajar," katanya.

17 dibaca
Berita Harian X