Isnin, 20 Jun 2016 | 10:46pm

Bina Puri peroleh kontrak ketiga di RAPID Pengerang

KUALA LUMPUR: Bina Puri Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Bina Puri Holdings Bhd, dianugerahkan kontrak bernilai RM73 juta oleh Punj Lloyd Sdn Bhd bagi membina pengalas paip dan perkhidmatan bawah tanah di Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor.

Kerja berkenaan akan disiapkan dalam tempoh 18 bulan, dengan skop kerja termasuk membekal semua bahan dan pembinaan perkhidmatan bawah tanah yang terbabit.

Namun, ia tidak terhad kepada paip untuk kumbahan, bekalan air, saluran utama, parit dan semua ciri keselamatan yang lain serta kerja merata dan penggredan untuk tanah terbabit di tapak tangki penapisan.

Ia adalah projek ketiga Bina Puri di RAPID, yang mana dua kontrak lain, masing-masing bernilai RM94.94 juta dan RM230 juta diperoleh tahun lalu.

gn4id:14368969

Pengarah Eksekutif Kumpulan Bina Puri, Mathew Tee, berkata dengan kontrak terbaharu itu, nilai projek dalam tangan yang belum dibina kumpulan itu kini bernilai RM1.62 bilion.

Katanya, projek itu akan memberi sumbangan positif kepada aset dan pendapatan bersih syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016.

Beliau berkata, pendedahan besar Bina Puri terutama dalam loji petrokimia terbesar negara di Pengerang dikuatkan oleh faktor keupayaan syarikat untuk menyiapkan kerja.

"Sebagai pembina contoh, kami menunjukkan keupayaan untuk melaksanakan apa juga jenis kontrak, sama ada di atas atau bawah tanah dan perkara rumit membabitkan kedua-duanya.

"Bina Puri akan menyaksikan lebih banyak pembabitannya dalam projek pembinaan tahun ini, sejajar yang digariskan oleh kerajaan dalam Bajet 2016 dan Rancangan Malaysia Ke-11," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Bina Puri mempunyai sejumlah projek yang sedang dijalankan di Johor, merangkumi dua blok menara pejabat 23 tingkat di Medini Iskandar bernilai RM195 juta, pembangunan kediaman Petrie Villa bernilai RM110 juta dan pembangunan bersama 412 unit rumah teres dua tingkat di Masai, Johor, dengan kontrak bernilai RM204 juta.

Bersama-sama dengan dua lagi projek yang disiapkan pada 2011, iaitu kompleks Kem Batalion 6 Polis Diraja Malaysia (PDRM) bernilai RM300 juta dan Sambungan Penyuraian Timur bernilai RM293 juta di Johor Baru, syarikat itu mempunyai nilai pembangunan Kasar (GDV) terkumpul RM1.499 bilion di Johor.

Berita Harian X