Isnin, 20 Jun 2016 | 6:13pm

Tingkat pengawasan polis di sekolah - Kementerian Pendidikan


SIN Woon (tiga dari kanan) menyerahkan cenderahati kepada Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Pesuruhjaya Polis Datuk Acryl Sani Abdullah Sani (tiga dari kiri) selepas menghadiri Majlis Mesyuarat Permuafakatan Kementerian Pendidikan dan PDRM dalam memperkasakan tugas PPS di sekolah, di Kementerian Pendidikan, Putrajaya, hari ini. - Foto Noor Atiqah Sulaiman

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan bercadang meningkatkan pengawasan polis di sekolah supaya mereka sentiasa berada (omnipresent) di premis berkenaan, sekali gus mengurangkan kadar jenayah dalam kalangan pelajar.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Chong Sin Woon, berkata sebelum ini, kehadiran polis iaitu Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) di sekolah hanya secara berkala.

"Walaupun sudah ada kehadiran PPS, sehingga kini belum ada satu panduan komprehensif diselaras bagi menambah baik kerjasama pihak sekolah dengan PDRM bagi menangani atau mengekang jenayah di sekolah.

"Contohnya, bagi menangani gejala dadah dan buli di sekolah. Kita memang lakukan ujian air kencing terhadap mereka yang disyaki bermasalah.

"Namun, tindakan ini perlu dilakukan dengan kerjasama PDRM untuk mengenal pasti mereka yang bersalah. Kita tidak boleh lakukan ujian air kencing terhadap semua pelajar kerana ia akan menyinggung perasaan mereka yang tidak melakukan kesalahan," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu, Sin Woon, menghadiri Majlis Mesyuarat Permuafakatan Kementerian Pendidikan dan PDRM dalam memperkasakan tugas PPS di sekolah, di kementeriannya.

Tambahnya, Kementerian Pendidikan juga akan mengadakan bengkel bersama PDRM dalam masa terdekat untuk mengatasi masalah disiplin pelajar di sekolah.

"Dalam bengkel ini juga, berkemungkinan kita dapat memberi format kepada PDRM supaya segala masalah yang membabitkan pelajar sekolah dapat dimaklumkan terus kepada pihak sekolah.

"Kemudian, laporan berkenaan akan terus dihantar ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk tindakan selanjutnya seberapa segera mungkin.

"Kita tidak akan melepaskan mana-mana pelajar sekolah yang terbabit dengan jenayah. Kita akan lakukan intervensi supaya mereka kembali ke pangkal jalan, bukannya mengakhiri zaman sekolah dan menimbulkan masalah dalam kalangan masyarakat pula," katanya.

Ditanya mengenai kadar peratusan buli di sekolah atau kes buli yang menjadi viral dalam media sosial, Sin Woon berkata, ia menunjukkan penurunan.

"Sebenarnya, masyarakat beranggapan gejala buli semakin berleluasa kerana mereka banyak melihat video yang dimuat naik dalam media sosial, sedangkan kebanyakan yang menjadi viral itu adalah video lama atau kes yang sudah selesai.

"Jika diteliti statistik di antara 2012 dan 2013, jumlah kes buli menunjukkan penurunan 0.08 peratus. Ia berkurangan 0.06 peratus di aantara 2014 dan 2015," katanya.

Berita Harian X