Isnin, 20 Jun 2016 | 2:54pm

Melaka lulus RUU enakmen penyalahgunaan lambang, gelaran

AYER KEROH: Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka sebentar tadi meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Lambang-Lambang Dan Nama-Nama (Mencegah Penggunaan Yang Tidak Betul) (Pindaan) 2017.

RUU yang dibentangkan Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron itu mendapat sokongan seramai 23 ahli DUN, manakala empat lagi wakil rakyat dari DAP bersikap berkecuali.


KETUA Menteri, Datuk Seri Idris Haron. - Foto Rasul Azli Samad

Menerusi RUU berkenaan, lapan Fasal dan lapan Seksyen baharu dibentang dan diluluskan serta akan diguna pakai berkuatkuasa serta-merta.

Penggubalan RUU itu bertujuan menjaga kemurnian kurniaan sesuatu anugerah kehormatan dan kebesaran negeri, di samping membendung kes penyalahgunaan gelaran anugerah serta isu pemberian darjah yang sama dengan pingat dan darjah rasmi Kerajaan Melaka yang tidak diiktiraf.

Individu dan kumpulan yang menganjur serta menerima sebarang pingat atau bintang kebesaran daripada mana-mana pihak yang tidak diiktiraf kerajaan akan dikenakan hukuman denda lebih tinggi.

Turut dikenakan hukuman ialah pemilik yang membenarkan premis mereka diguna atau disewakan kepada pihak yang menganjurkan istiadat penganugerahan tidak diiktiraf kerajaan itu.

Denda bakal dinaikkan sehingga 250 kali ganda daripada RM1,000 kepada minimum RM250,000 dan maksimum RM500,000 atau penjara minimum setahun serta maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Selepas perbahasan usul dan pengundian, Speaker DUN, Datuk Wira Othman Muhammad mengumumkan RUU berkenaan diluluskan.

Pindaan itu adalah susulan beberapa pihak termasuk individu menggelarkan diri sebagai Sultan Melaka dan Bonda Ratu menganjurkan istiadat penganugerahan darjah kebesaran yang tidak diiktiraf.

Berita Harian X