Isnin, 20 Jun 2016 | 12:57pm

Zon jualan bazar Ramadan Jerantut mudahkan peniaga, pengunjung


Peniaga, Azizah Mohd Amin 44 (kiri) menunjukkan kuih tradisional dodol kukus dan Sabariah Talib 49 (kanan) dengan badak kubang yang dijual di Bazar Ramadan Jerantut. - Foto Amir Nordin

JERANTUT: Pembahagian zon mengikut jenis perniagaan di bazar Ramadan seperti ditetapkan Majlis Daerah Jerantut (MDJ) sejak tiga tahun lalu, diakui peniaga membantu meningkatkan keselesaan pengunjung membuat pilihan membeli juadah berbuka puasa.

Pengerusi Peniaga Bazar Ramadan Jerantut 2016, Munir Hamid, 61, berkata pembahagian kepada zon jualan air, roti dan kuih-muih, lauk-pauk serta jualan yang membabitkan alatan pembakar menjadikan ia lebih sistematik dan memudahkan pengunjung ke bazar itu.

"Pengunjung mudah mengenal pasti zon mana untuk dituju dan membeli, sekali gus memberi imej lebih baik khususnya kepada pengunjung luar daerah ini dengan mengambil kira kepentingan kebersihan.

"Pembahagian zon ini juga mengelak kesesakan terutama pada setiap hujung minggu dan ini membantu peniaga menambah pendapatan masing-masing," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, peniaga ikan bakar, Salman Ali Daud, 54, yang berniaga di situ sejak 17 tahun lalu, berterima kasih kepada MDJ yang sentiasa berusaha memastikan bazar Ramadan di situ menjadi tumpuan dan menarik minat orang ramai datang membeli juadah masing-masing.

"Jika bazar dalam keadaan bersih, tersusun dan kemas, orang ramai akan datang berulang kali. Saya bersyukur kerana permintaan ikan bakar sentiasa mendapat sambutan pengunjung dan menjadi pilihan satu daripada menu berbuka puasa," katanya.

Setiausaha MDJ, Wan Norizan Wan Badaruzzaman pula berharap semua peniaga terus mengekalkan kebersihan, selain mengekalkan harga berpatutan dan mengutamakan aspek keselamatan makanan.

Berita Harian X