Ahad, 19 Jun 2016 | 12:06pm

Wanita maut nahas kereta di Manjung


BOMBA sedang melakukan kerja-kerja membawa keluar mangsa kemalangan.

MANJUNG: Seorang wanita berusia 42 tahun maut selepas kereta PERODUA Kancil dipandunya hilang kawalan dan bertembung dengan sebuah kereta lain di Kilometer 41, Jalan Teluk Intan-Sitiawan, dekat Sitiawan, di sini, pagi ini.

Dalam kejadian itu jam 5.50 pagi, mangsa Norhezleyney Mohd Zakaria meninggal dunia di tempat kejadian berikutan parah di beberapa bahagian anggota badan.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah, berkata siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa dari arah Sitiawan ke Teluk Intan dipercayai memasuki arah bertentang selepas cuba memotong kenderaan di hadapannya sebelum bertembung dengan kereta Proton Persona dinaiki dua lelaki.

Katanya, perlanggaran itu menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian manakala dua lelaki berkenaan yang cedera dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan.

"Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X