Ahad, 19 Jun 2016 | 10:32am
Sebahagian kaki judi yang ditahan dalam serbuan Ops Dadu di tiga premis hiburan sekitar Kulim dan Sungai Petani malam tadi - Pix Ihsan Polis

21 ditahan dalam Ops Dadu


Sebahagian kaki judi yang ditahan dalam serbuan Ops Dadu di tiga premis hiburan sekitar Kulim dan Sungai Petani malam tadi - Pix Ihsan Polis

ALOR SETAR: Polis menahan 21 kaki judi dan merampas pelbagai peralatan termasuk lapan mesin slot dalam serbuan Ops Dadu di tiga pusat judi berasingan di sekitar Sungai Petani dan Kulim, awal pagi tadi.

Dalam serbuan jam 1 pagi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Kedah itu, polis turut merampas wang tunai kira-kira RM2,000 yang dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan perjudian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya, berkata dalam serbuan pertama di Taman Lagenda, dekat Padang Serai, Kulim, polis menahan 11 lelaki termasuk seorang penjaga.

Dalam serbuan itu, polis merampas 10 set komputer, masing-masing satu unit WiFi dan telefon bimbit serta wang tunai RM322.

"Serbuan kedua di Taman Mahsuri, juga di Padang Serai, Kulim, membabitkan tangkapan lima lelaki termasuk seorang penjaga.

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat masing-masing satu unit WiFi, simulator dan alat memasukkan mata kredit mesin simulator, enam set komputer dan wang tunai RM275 di premis terbabit yang kemudiannya dirampas," katanya di sini, sebentar tadi.

Nashir berkata, serbuan ketiga di Pusat Hiburan Keluarga, Taman Ria Indah di Sungai Petani, polis merampas lapan mesin slot, satu unit cip (kunci) dan wang tunai berjumlah RM1,600.

"Polis kemudian menahan lima lelaki termasuk seorang penjaga bagi membantu menjalankan siasatan. Semua kes disiasat mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.

12 dibaca
Berita Harian X