Sabtu, 18 Jun 2016 | 11:10pm

3 kunci kemenangan BN di Kuala Kangsar - Zahid


AHMAD Zahid pada sidang akhbar selepas pengumuman keputusan PRK Kuala Kangsar di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar. - Foto Sairien Nafis

KUALA KANGSAR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, calon terbaik ditampilkan serta perpaduan dan gerak kerja tersusun jentera pelbagai peringkat menjadi kunci kemenangan Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar.

Timbalan Perdana Menteri yang bersyukur dengan kemenangan itu berkata, calon BN, Datin Mastura Mohd Yazid adalah 'produk' politik yang baik buat BN dan rakyat di Kuala Kangsar.

"Beruntunglah pengundi di Kuala Kangsar yang berwakil rakyatkan kepada beliau," katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas pengumuman keputusan PRK berkenaan yang menyaksikan Mastura menang dengan majoriti undi 6,969 menewaskan tiga pencabarnya.

Yang turut hadir pada sidang media itu Menteri Besar yang juga Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa; Presiden Parti GERAKAN, Datuk Seri Mah Siew Keong, empat anak Mastura, Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar, Wan Imar Izzat, Wan Iskandar dan Wan Muhammad Ammar, turut sama hadir di sini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerjasama jentera di peringkat parlimen, negeri diterajui Zambry dan pusat memberi hasil membanggakan kepada BN walaupun perlu melalui kepayahan.

Katanya, perpaduan BN di pelbagai peringkat cukup membanggakan. "Ia (kemenangan) satu kesinambungan politik pembangunan di Kuala Kangsar dan ini hanya boleh dibawa oleh UMNO dan BN," katanya.

Timbalan Perdana Menteri turut memuji kerjasama diberikan empat anak Mastura yang bekerja keras membantu kempen ibu mereka.

Beliau berkata, bantuan empat beradik itu banyak membantu dan memudah tugas jentera BN.

Ahmad Zahid turut mengucapkan terima kasih kepada pengundi Cina di Kuala Kangsar dan Sungai Besar, khususnya Sekinchan yang kembali memberi kepercayaan kepada BN.

Berita Harian X