Sabtu, 18 Jun 2016 | 10:59pm

Kemenangan BN kerana kerja berpasukan - Zambry

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Besar Trengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman; Presiden GERAKAN, Datuk Seri Mah Siew Keong dan anak-anak calon BN, Datin Mastura Mohd Yazid meraikan kejayaan ketika pengumuman keputusan PRK Kuala Kangsar di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar, malam ini. - Foto Muhaizan Yahya

KUALA KANGSAR: Pengarah Jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, kemenangan BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar adalah disebabkan kerja berpasukan semua pihak.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak khususnya jentera BN dan pengundi dalam memberikan kemenangan kepada Datin Mastura Mohd Yazid.

Katanya, Kuala Kangsar adalah satu eksperimen yang sangat baik dalam bentuk kesatuan dan kesepakatan yang ditunjukkan semua pihak termasuk parti komponen BN.

"Berkat kesepaduan oleh semua..kita menghasilkan sesuatu yang sangat membanggakan dalam PRK kali ini.

"Calon kali ini yang dikemukakan juga agak luar dari kebiasaan BN kerana ada halangan agama yang tidak membenarkan calon berada di lapangan.

"Bagaimanapun berkat kesatuan dan kerjasama berpasukan yang ditunjukkan ia telah memberikan natijah yang besar (kemenangan) kepada kami," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas pengumuman keputusan PRK Kuala Kangsar di Dewan Jubli Perak di sini.

Zambry berkata, bagaimanapun perkara paling utama yang membantu kemenangan BN adalah pengundi di Kuala Kangsar yang dengan matang memilih BN untuk terus memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

"Kami menghargai kepercayaan diberikan dan Datin Mastura akan menjadi Ahli Parlimen yang baik untuk rakyat Kuala Kangsar," katanya.

Berita Harian X