Sabtu, 18 Jun 2016 | 10:48pm

Suami dikelar ahli keluarga isteri

MULTAN: Leher seorang lelaki dikelar ahli keluarga isterinya yang tidak bersetuju dengan perkahwinan mereka, kelmarin dalam satu insiden pembunuhan maruah terbaharu di Pakistan.

Beratus-ratus wanita dibunuh ahli keluarga di negara Islam konservatif Pakistan saban tahun kononnya untuk mempertahankan maruah keluarga, namun jarang sekali mangsanya adalah lelaki.

Menurut polis, semalam pembunuhan itu berlaku di sebuah pasar di bandar Burewala, Punjab. Mangsa, Muhammad Irshad, 43, diserang bapa mentua dan dua abang iparnya.

"Semua penyerang bersenjatakan pisau dan kapak. Selepas menyebabkan beberapa kecederaan di badan Irshad, mereka mengelar lehernya," kata Ketua Polis Daerah, Ghazi Salahuddin. - AFP

Irshad mengahwini Mussarat Bibi, anak perempuan sebuah keluarga petani kaya, kira-kira setahun lalu dan melarikan diri kerana bimbang keluarga mentua akan membunuhnya.

Namun mangsa pulang untuk menemui ibu bapanya, tambah ketua polis itu. Usaha mengesan suspek masih dijalankan dan difahamkan ahli keluarga mentua mangsa masih bebas. - AFP

Berita Harian X