Sabtu, 18 Jun 2016 | 3:36pm

58% mengundi di Sg Besar setakat 2 petang


SUASANA di luar kawasan mengundi kelihatan tenang selepas anggota polis mengawal keadaan di Balai Raya Bagan Sungai Besar hari ini. - Foto BERNAMA

SUNGAI BESAR: Proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar berjalan lancar dengan 24,572 atau 58 peratus daripada 42,365 pemilih berdaftar keluar mengundi setakat 2 petang ini.

Berdasarkan pemantauan Bernama di beberapa pusat daerah mengundi mendapati kehadiran pengundi semakin berkurangan walaupun keadaan cuaca cerah dan tidak terlalu panas.

Peraih undi yang kelihatan bersemangat pada awal pagi tadi, kelihatan sudah agak kurang agresif untuk menarik perhatian pengundi.

PRK Sungai Besar menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Budiman Mohd Zohdi, Dr Abdul Rani Osman daripada PAS dan Azhar Abdul Shukur daripada Parti Amanah Negara (Amanah).

Seramai 42,365 pengundi biasa layak mengundi hari ini selepas 265 orang atau 92.6 peratus daripada 286 pengundi awal menunaikan tanggungjawab mereka Selasa lalu (14 Jun).

Sebanyak 28 pusat mengundi dengan 90 saluran dibuka tepat 8 pagi tadi dan akan ditutup pada 5 petang untuk proses pengiraan undi sebelum di bawa ke pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Seri Bernam, di sini.

PRK Parlimen Sungai Besar diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi berikutan kematian penyandangnya, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Ia diadakan serentak dengan PRK Kuala Kangsar, Perak juga berikutan kematian Ahli Parlimen kawasan itu Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas yang sama. - BERNAMA

Berita Harian X