Sabtu, 18 Jun 2016 | 12:01am

Siakap sam sing sentiasa jadi pilihan


PESAWAT Singapore Airlines.

SIAKAP sam sing dan puyuh sam sing adalah nama menu yang dianggap unik.

Dua menu itu dihasilkan daripada resepi istimewa dan menjadi pilihan utama pengunjung ke Restoran Paktam Sri Corner yang terkenal dengan slogan Masuk Sat, Masak Siap.

Cerita keistimewaan dua menu itu membuatkan timbul keinginan di hati penulis untuk mencuba sendiri sejauh mana kesedapannya.

Ternyata memang sedap dan bagi penulis sangat istimewa. Sedap dan menyelerakan kerana resepi yang digunakan oleh Pak Tam adalah menggabungkan lima rasa iaitu masam, manis, pedas, masin dan lemak dalam satu pinggan.

Ini menjadikan rasa ikan siakap dan puyuh sam sing sangat memuaskan, agak berbeza dengan masakan tiga rasa yang ditawarkan di kebanyakan restoran yang menyajikan menu berasakan cita rasa Thai.

Pelanggan yang datang bersama keluarga atau kawan-kawan ke restoran ini akan memesan sekurang-kurangnya dua pinggan untuk setiap satu menu itu.

Pak Tam atau nama sebenarnya Mohd Asri Ismail, 46 berkata berkata resipi siakap sam sing diciptanya selepas meneliti beberapa pendapat dan komen daripada pelanggan tetapnya terhadap semua hidangan yang disediakan di restoran berkenaan.

"Setakat ini, hampir setiap meja akan memesan salah satu daripada dua hidangan ini, biasanya tidak cukup hanya satu pinggan.

"Ada juga pelanggan Paktam yang memesan lagi, untuk dibawa balik, sejurus selepas makan," katanya.


RESTORAN Paktam Sri Corner sentiasa dikunjungi pelanggan tetap. - Foto Nik Hariff Hassan

Penuh pada hujung minggu

Kedua-dua masakan itu diberi nama siakap samseng dan puyuh sam sing ekoran ia pasti akan dapat menarik seberapa ramai pelanggan yang melalui kawasan itu setiap hari.

Restoran Paktam Sri Corner juga menyediakan Tom Yam Songkhla yang rasanya berlainan daripada biasa.

Beliau berkata, jika hari biasa iaitu bukan bulan puasa, menu pilihan utama pada sebelah siang ialah Nasi Ayam Hainan dan mihun sup, manakala pada waktu malam menu berubah kepada masakan Thai.

Sementara itu, isterinya Mieza Ismail berkata, restoran yang sudah berusia lapan tahun itu, mempunyai lima tukang masak berpengalaman dari selatan Thailand.

Katanya, biarpun kebanyakan makanan yang dijual di restoran itu berasal dari Thail, namun ada di antaranya yang sudah diubahsuai mengikut cita rasa pelanggan tetapnya.

"Pada Ramadan ini kita juga menyediakan pakej khas berharga RM59 untuk tiga orang dan menunya siakap samseng, puyuh samseng, udang goreng tepung, telur dada, baby kailan ikan masin, nasi putih, buah kurma dan pencuci mulut.

"Pelanggan yang bercadang berbuka puasa di sini perlu datang awal, bagi mengelakkan tidak ada meja makan," katanya.


SATE daging batang pinang dan ayam. - Foto Nik Hariff Hassan

INFO

Restoran Paktam Sri Corner,

Lot 58213, Jalan Samudera Utama,

Taman Samudera, Batu Caves.

Berita Harian X