Jumaat, 17 Jun 2016 | 11:42pm

Bazar Ramadan boleh jadi pusat promosi makanan tradisional


AHLI Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris (kanan) mencuba memasak kuih akok sambil dibantu peniaga ketika melawat bazar Ramadan, Jerantut, hari ini. - Foto Nazirul Roselan

JERANTUT: Bazar Ramadan di setiap daerah wajar menjadi pusat jualan dan promosi pelbagai makanan tradisional kepada pelancong dalam dan luar negara.

Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris, berkata peranan peniaga di bazar Ramadan di sini contohnya, boleh membantu jabatan dan agensi berkaitan bagi mempromosi daerah ini yang sudah terkenal dengan Taman Negara, iaitu hutan hujan tropika tertua dunia di Kuala Tahan yang sering dikunjungi pelancong asing.

"Jadinya, peniaga dan pengusaha pelancongan wajar mengambil peluang menjadikan bazar Ramadan sebagai lokasi pelancongan untuk dilawati semasa bulan Ramadan kerana pelancong asing pastinya terpegun dengan suasana dan kepelbagaian makanan dan kuih muih tradisional yang dijual.

"Makanan tempatan berasaskan ikan sungai dan ulam-ulaman memang diakui mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri dan sesuai dijadikan juadah berbuka puasa atau hidangan di hotel dan tempat tumpuan ramai pelancong," katanya selepas melawat bazar Ramadan, di sini, hari ini.

Ahmad Nazlan berkata, pelancong asing kebiasaannya gemar mencari kelainan dalam lawatan mereka ke sesebuah negeri dan pastinya bandar Jerantut sebagai transit sebelum ke Kuala Tahan dapat membantu mereka lebih mengenali budaya masyarakat di negara ini.

"Dengan itu, pengusaha pelancongan perlu memainkan peranan memaklumkan kepada mereka (pelancong) untuk melawat ke bazar Ramadan dan memberi maklumat berkaitan makanan tradisional.

"Peniaga bazar Ramadan pada masa sama hendaklah sentiasa menjaga kebersihan dan imej ketika menjual makanan masing-masing," katanya.

Berita Harian X