Jumaat, 17 Jun 2016 | 12:09am
HON Meng memantau pekerja yang sedang melakukan pemeriksaan terhadap tayar terpakai yang diproses untuk dicelup semula di kilang Suntex dekat Senawang. - Foto Iqmal Haqim Rosman
TAYAR celup yang berkualiti perlu mematuhi piawaian Standard Malaysia (MS224) seperti yang dihasilkan oleh kilang Suntex dekat Senawang. - Foto Iqmal Haqim Rosman
BUNGA tayar celup yang tertanggal berpunca daripada kegagalan pengilang mematuhi standard piawaian yang ditetapkan kerajaan. Foto Syed Ismail Syed Abu Bakar

Tiada pembanterasan punca tayar celup tak berkualiti dipasarkan


SENAWANG: Senarai kilang tayar celup yang menghasilkan produk yang tidak memenuhi pengiktirafan Malaysia Standard (MS) sudah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Presiden Persatuan Pengilang Tayar Celup Malaysia (TRMAM), Chin Hon Meng, berkata pihaknya menyerahkan senarai itu tahun lalu tetapi mendakwa kilang terbabit masih beroperasi dan mengeluarkan produk.

Katanya, kilang terbabit masih lagi wujud serta menguasai sebahagian pasaran tayar celup kerana faktor harga yang rendah.

Katanya, pihak TRMAM dan Lembaga Getah Malaysia (LGM) telah lama menyedari kewujudan banyak kilang tanpa pengiktirafan sejak kerajaan mewajibkan MS 224 sejak November 2007.

PRESIDEN Persatuan Pengilang Tayar Celup Malaysia (TRMAM), Chin Hon Meng - Foto Iqmal Haqim Rosman

"Kami hanya boleh menyenaraikan kilang tanpa pengiktirafan apabila KPDNKK meminta sebagai rujukan pada tahun lalu," katanya ketika ditemui di kilang Suntex, di sini.

Sebelum ini BH mendedahkan tayar celup menjadi antara punca utama nahas jalan raya dan pengguna menuntut kerajaan mengharamkan tayar jenis itu.

Berikutan itu, TRMAM mendedahkan sebanyak 30 peratus daripada 1.2 juta tayar celup di pasaran negara ini tidak berkualiti.

Hon Meng berkata kilang tanpa pengiktirafan itu, beroperasi seperti kilang tayar celup yang lain namun mereka melangkau proses penandaan MS 224 yang diiktiraf SIRIM Bhd pada tayar.

HON Meng menunjukkan lapisan bunga baharu yang dipasang pada tayar celup menepati piawaian MS224 oleh kilang Suntex dekat Senawang. - Foto Iqmal Haqim Rosman

"Proses mendapatkan penandaan MS 224 bukan perkara mudah kerana membuat tayar celup perlu melalui sekurang-kurangnya tujuh peringkat penting disebabkan ia berkait rapat dengan soal keselamatan dan nyawa pengguna jalan raya.

"Kami sendiri akui terdapat banyak serpihan tayar celup di atas lebuh raya tetapi apabila diperhatikan, banyak yang tiada penandaan MS 224 khususnya apabila serpihan yang berbentuk sebiji tayar," katanya.

Ketua Seksyen Bahagian Penguat Kuasa KPDNKK, Othman Nawang, ketika dihubungi berkata perkara itu akan diteliti.

Berita Harian X