Khamis, 16 Jun 2016 | 11:22pm

Fasa pertama projek Bandar Malaysia bermula tahun depan


NAJIB diiringi Kang Hoo (dua dari kanan) dan Mohamed Khaled (kanan) melihat replika Bandar Malaysia selepas pemeteraian MoU di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Hafiz Sohaimi

KUALA LUMPUR: Pembangunan projek mega, Bandar Malaysia yang dianggarkan membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) keseluruhan RM200 bilion, dijangka dimulakan tahun depan.

Naib Pengerusi Eksekutif Kumpulan Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH), Tan Sri Lim Kang Hoo, berkata ia bermula dengan fasa pertama yang membabitkan anggaran GDV antara RM50 bilion hingga RM60 bilion.

Katanya, pembangunan fasa pertama yang merangkumi keluasan kira-kira 40 hektar, antara lain membabitkan pembangunan 5,000 unit rumah mampu milik serta kemudahan sistem rel Transit Aliran Ringan (LRT) dan Mass Rapid Transit (MRT).

"Pembangunan fasa pertama dijangka mengambil masa antara lima hingga 10 tahun," katanya sambil menambah bagi keseluruhan projek Bandar Malaysia, ia merangkumi tiga hingga empat fasa yang mengambil masa hingga 25 tahun.

Beliau berkata demikian selepas majlis pemeteraian perjanjian pemegang saham dengan IWH CREC Sdn Bhd, iaitu syarikat usaha sama dengan kepentingan 60:40 antara IWH dan China Railway Engineering Corp (CREC).

Majlis di sini hari ini disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Yang turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Duta China ke Malaysia, Dr Huang Huikang dan Pengerusi IWH, Izaddeen Daud.

Mengikut perjanjian itu, IWH CREC dan Menteri Kewangan (Diperbadankan) memegang kepentingan 60:40 dalam Bandar Malaysia Sdn Bhd (BMSB), syarikat usaha sama yang akan menerajui projek pembangunan berkenaan.

BMSB turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan MRCB Bhd bagi penubuhan sebuah syarikat usaha sama untuk tujuan mereka bentuk, memajukan serta membina kawasan pengangkutan bersepadu projek itu.

Satu lagi MoU yang turut dimeterai adalah antara konsortium perbankan antarabangsa, China dan Malaysia bagi menyediakan kemudahan pembiayaan untuk pelabur projek Bandar Malaysia.

Ia termasuk Bank of China dan HSBC Bank Malaysia Bhd yang menyertai kumpulan perbankan tempatan seperti CIMB Bank Bhd, Malayan Banking Bhd, RHB Bank Bhd dan Affin Bank Bhd.

Ditanya mengenai pemilihan MRCB Bhd sebagai pemaju utama bagi pengangkutan di Bandar Malaysia, Kang Hoo berkata, syarikat tempatan itu mempunyai kepakaran dalam hartanah dan pengangkutan di negara ini.

Katanya, MRCB akan membina satu terminal yang akan menyepadukan laluan kereta api berkelajuan tinggi, MRT dan beberapa lagi laluan lain.

Mengenai pembayaran pengambilalihan Bandar Malaysia daripada 1MDB yang bernilai RM7.4 bilion, beliau menjelaskan ia akan diselesaikan secara berperingkat dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

INFO Bandar Malaysia

  • 15 hingga 25 tahun pembangunan
  • Di kawasan seluas 197 hektar, di tapak lapangan terbang lama Sungai Besi
25 dibaca
Berita Harian X