Khamis, 16 Jun 2016 | 10:19pm

Kerjasama dengan NGO untuk elak pembaziran makanan


MENTERI Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Rahman Dahlan. - Foto Abd Rahim Rahmat

PUTRAJAYA: Pengusaha hotel dan restoran diminta bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) supaya juadah bufet yang masih elok selepas selesai majlis berbuka puasa dapat diagihkan kepada gelandangan.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Rahman Dahlan, berkata menerusi inisiatif itu negara dapat mengurangkan kadar pembaziran makanan yang semakin membimbangkan sejak kebelakangan ini.

Jelas beliau, 40 peratus daripada sisa pepejal yang dibuang setiap hari adalah sisa makanan dan pembaziran itu dapat dielak jika ada muafakat atau persefahaman antara pengusaha hotel dan restoran serta NGO.

"Diharapkan rakyat, pengusaha hotel mahupun restoran di negara ini menyediakan juadah berbuka puasa secara sederhana dan tidak keterlaluan.

"Saya memandang serius mengenai hal ini dan meminta rakyat negara ini dapat berfikir sebelum membuat sebarang pembelian makanan supaya tidak membazir. Sekiranya makanan itu masih dalam keadaan baik, eloklah ia dibungkus dan diberi kepada mereka yang memerlukan.

"Saya percaya diluar sana masih ada NGO yang sudi mengagihkan makanan berkenaan," katanya selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama warga Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, di sini hari ini.

Tambah beliau, lazimnya pada bulan Ramadan akan berlaku peningkatan sebanyak 15 hingga 20 peratus pembuangan sisa makanan yang masih boleh dimakan.

"Contohnya di bazar Ramadan, makanan yang tidak habis dijual akan terus dibuang walhal ia masih boleh diselamatkan dengan disedekahkan kepada mereka yang memerlukan tetapi kurang mampu," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rahman turut menggesa orang ramai untuk mengamalkan budaya mengasingkan sampah, yang secara tidak langsung dapat meningkatkan amalan kitar semula di kalangan masyarakat negara ini.

Berita Harian X