Khamis, 16 Jun 2016 | 1:35pm

Kes culik warga Malaysia masih khabar angin - KPN


Tan Sri Khalid Abu Bakar.

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, menyifatkan berita penculikan terbaru membabitkan empat rakyat Malaysia yang dilaporkan oleh media Filipina, hari ini sebagai khabar angin.

"Setakat ini, ia cuma khabar angin saja. Kita akan menyiasat kebenaran laporan berita berkenaan dengan pihak berkuasa Filipina," katanya ketika dihubungi BH, sebentar tadi.

Khalid menerusi akaun Twitter rasminya sebentar tadi berkata, polis tidak dapat mengesahkan berita penculikan berkenaan.

"Berita empat warga Malaysia diculik di perairan Sulu hari ini, setakat ini tidak dapat disahkan. @PDRMsia sedang tunggu pengesahan dari Filipina," katanya.

Portal ABS-CBN News yang memetik Ketua Polis Tawi-Tawi, Jeselito Salido, berkata penculik yang belum dikenal pasti membawa tebusan ke perairan Sitankai, Tawi-Tawi sebelum dibawa ke Sulu.

Menurut laporan itu, pihak berkuasa Tentera Mindanao turut mengesahkan maklumat sama.

‎Minggu lalu, empat kru kapal tunda warga Malaysia yang diculik di perairan Ligitan dekat Semporna pada 1 April lalu, dibebaskan kumpulan Abu Sayyaf dengan ahli keluarga mereka dilaporkan membayar wang tebusan sebanyak RM12 juta.

Berita Harian X