Khamis, 16 Jun 2016 | 10:02am
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Datuk Tee Siew Kiong (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada rakyat termiskin di Kampung Parit Datuk On, Api-Api, Pontian pada 14 Jun lalu. - Foto Togi Marzuki

Jumlah pelancong ke Johor meningkat

ISKANDAR PUTERI: Johor mencatat peningkatan kedatangan pelancong apabila 6.95 juta orang melawat negeri ini tahun lalu, berbanding 6.42 juta tahun sebelumnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong, berkata ketika ini, lebih 10,000 pelancong melawat Johor setiap bulan dan dijangka meningkat kepada 20,000 orang sebulan, susulan pelbagai promosi pelancongan ditawarkan.

Katanya, kerajaan negeri komited mempromosi sektor pelancongan dengan kerjasama penggerak industri bagi menguasai pasaran semasa dan memasarkan produk serta perkhidmatan lebih luas.

"Pencapaian ini menunjukkan sektor pelancongan Johor berkembang dan peningkatan mutu perkhidmatan menarik pelancong untuk kembali melawat Johor.

"Bagi memantapkan strategi pemasaran pelancongan Johor, Tourism Johor akan melaksanakan pelbagai inisiatif.

"Ini termasuk memperkenalkan Buletin Pelancongan Xplore Johor yang menyenaraikan ikon pelancongan Johor berkepentingan global sebagai destinasi percutian ideal bagi pelancong domestik dan antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Buletin Pelancongan Xplore Johor di sini, malam tadi.

Yang turut hadir. Pengarah Tourism Johor, Asman Shah Abd Rahman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, M Asojan.

Siew Kiong berkata, kerajaan negeri akan mengembangkan teknologi penerbitan dan digital sebagai platform penyebaran maklumat pelancongan  Johor.

Sementara itu, Siew Kiong berkata, perkhidmatan penerbangan dari China ke Johor yang diperkenalkan sejak 29 Mei lalu menerima sambutan menggalakkan.

Katanya, hampir 95 peratus penumpang memenuhi setiap penerbangan berjadual dan lebih 3,000 pelancong memasuki ke negeri ini sejak tempoh berkenaan.

Berita Harian X