Khamis, 16 Jun 2016 | 9:36am
Zain turut meluahkan rasa rindu terhadap isteri dan anaknya, Aaisyah Dhia Rana yang kini berada di Perlis menjalani penggambaran telefilem Kak Mar Raya.
ANAK, Aaisyah Dhia Rana yang turut berada di Perlis menjalani penggambaran telefilem Kak Mar Raya.

Zain sahut cabaran Che Ta

KUALA LUMPUR : Menyahut cabaran isteri, Zain Saidin mengeluarkan kasut khusus untuk lelaki yang mengutamakan rekaan bergaya serta keselesaan sebagai ciri utama di bawah jenama ZapatoS.

Pelakon itu berkata, sepatu jenama mahal yang dihadiahkan Rozita Che Wan atau mesra dipanggil Che Ta, 43, kadang kala kurang selesa dipakai dalam tempoh lama, sekali gus menyuntik inspirasi menghasilkan kasut bergaya dan pada masa sama 'sedap' dipakai.

"Che Ta mencabar saya tampil dengan sepatu yang saya inginkan. Saya mendapat ilham itu ketika bercuti di Sepanyol iaitu menamakannya ZapatoS yang bererti kasut dalam bahasa negara itu.

"Ejaannya juga kena dengan nama saya iaitu huruf Z dan S. Sudah pasti fokus saya ditumpukan kepada bisnes yang baharu saja diceburi ini, malah saya mahu buktikan kasut rekaan saya bukan saja menarik tetapi turut menitik beratkan keselesaan si pemakai" katanya.

Menyentuh rutin harian, bintang berusia 32 tahun yang popular menerusi Oh My English itu memaklumkan meneruskan aktiviti di gimnasium biarpun pada bulan puasa bagi mengekalkan susuk tubuh yang diidamkan.

"Saya ke gimnasium selepas solat terawih tetapi masih mengikut kudrat yang tinggal selepas seharian berpuasa. Saya utamakan keselamatan diri dengan tidak melakukan senaman di luar kemampuan," katanya.

Zain turut meluahkan rasa rindu terhadap isteri dan anaknya, Aaisyah Dhia Rana yang kini berada di Perlis menjalani penggambaran telefilem Kak Mar Raya serta merancang menjenguk mereka dalam masa terdekat.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 12 Disember 2013 dan dikurniakan Aaisyah manakala menerusi perkahwinan terdahulu, Che Ta mempunyai dua anak, Ammar Effendy, 20, dan Aniq Ezzra, 18.

Berita Harian X