Khamis, 16 Jun 2016 | 12:08am
YANA bersama rakan artis, Erra Fazira (kanan). - Foto Instagram
YANA kini sibuk menguruskan perniagaan tudung jenama aYana by Yana Samsudin yang semakin berkembang. - Foto Instagram

Bayi Yana Samsudin menyorok setiap kali diimbas


KUALA LUMPUR: Jika selebriti lain tidak kisah bergambar atau tampil di majlis dalam keadaan sarat mengandung, pelakon Yana Samsudin, 32, lain pula ceritanya.

Pertama kali mengaku berbadan dua kepada sisipan B*POP, April lalu, Yana yang kini hamil lapan bulan, memberitahu dia sebenarnya malu menayangkan perut di hadapan orang.

Menceritakan keadaan sebenar, Yana berkata, dia tidak menghebohkan kehamilannya bagi memenuhi permintaan ibu mentua sehinggalah akhirnya ia 'dihidu' wartawan B*POP.

"Pada mulanya, saya memenuhi permintaan mentua untuk tidak menghebahkan berita mengandung. Apatah lagi, ketika itu, bayi masih dalam peringkat awal kehamilan.

"Terus berdiam diri, lama-kelamaan saya menjadi kekok untuk menayangkan perut kepada orang ramai," katanya kepada BH Plus.


YANA kini hamil lapan bulan. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Yana atau nama sebenarnya, Norliana Samsudin berkata, ramai orang tidak menyedari dirinya hamil.

"Ini kerana perut saya tampak kecil berbanding orang lain. Saya pula gemar menggayakan baju besar yang membuatkan orang tidak menyedari kehamilan saya," katanya.

Namun, kata Yana, apa yang penting, bayi yang dikandungnya sihat.

Ditanya jantina anaknya itu, Yana berkata:

"Saya belum dapat berkongsi jantina anak. Ini kerana dia sering 'menyorok' ketika menjalani proses imbasan."

Yana bernikah dengan aktor dan penulis skrip, Fadzil Zahari yang juga adik pelakon Farid Kamil, pada 13 Februari tahun lalu.


YANA bersyukur tidak banyak kerenah atau mengalami alahan seperti wanita hamil lain. - Foto Instagram

YANA bersama suaminya, Fadzil Zahari. - Foto Instagram

Tiada alahan

Berkongsi pengalaman menempuhi kehamilan, Yana bersyukur, tidak banyak kerenah atau mengalami alahan seperti wanita hamil lain.

Yana berkata, dia dan suami tidak sabar menunggu detik kelahiran bayi sulung mereka yang dijadualkan pada minggu pertama Syawal ini.

Pelakon filem Adnan Sempit itu juga masih belum menetapkan sama ada mahu bersalin di Kuala Lumpur atau di kampung halamannya di Yong Peng, Johor.

"Saya tidak tahu pasti di mana saya akan bersalin. Menurut doktor, jika saya mahu bersalin di Kuala Lumpur, saya tidak boleh balik kampung beraya.

"Namun, hati ini teringin menyambut Aidilfitri bersama keluarga di kampung. Apatah lagi, tahun ini adalah giliran saya beraya di Yong Peng.

"Sekiranya ditakdirkan bersalin di kampung halaman, saya akan terus menjalani proses berpantang di sana," kata Yana.


YANA atau nama sebenarnya, Norliana Samsudin. - Foto Instagram

BIODATA

Nama Penuh: Norliana Samsudin

Tarikh Lahir: 25 September 1985

Asal: Yong Peng, Johor

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Seni Layar UiTM

Karier: Pelakon, pengarah, penyanyi, penulis skrip dan pengacara TV

Filem: Adnan Sempit, Tiga Temujanji, Aku Ada, Kau Ada?, 8 Jam, Strawberi Cinta, Minyak Dagu dan Adnan Sempit Sawadikap

40 dibaca
Berita Harian X