Khamis, 16 Jun 2016 | 12:06am
HAMZAN menyelaras lubang yang sesuai dengan saiz kepala lembu untuk proses menyembelih pada sangkar sembelih mudah alih ketika Program Pelancaran Projek MSI Sangkar Sembelihan Mudah Alih di Masjid Ar Rabbani, Tangga Batu, Melaka. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
TIMBALAN Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah (empat dari kanan) diberi penerangan oleh Hamzan (kiri) mengenai sistem hidraulik pada sangkar sembelih mudah alih. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

Sangkar mudahkan proses sembelihan ternakan


MELAKA: Hasrat memudahkan urusan umat Islam, khususnya ketika melakukan sembelihan ibadat korban, mendorong seorang pengimpal mencipta sangkar sembelihan mudah alih.

Mengikut kaedah biasa, proses sembelihan seekor lembu mengambil tempoh kira-kira 30 minit serta memerlukan banyak tenaga manusia.

Namun, penggunaan sangkar mudah alih ciptaan Hamzan Hashim, 47, tempoh itu mampu disingkatkan kepada hanya 10 minit, sekali gus memudahkan urusan penyembelihan.

Hamzan berkata, kesukaran menumbangkan lembu serta tempoh yang diambil terlalu lama mendorongnya mencipta sebuah sangkar khas memudahkan proses terbabit.

"Alat ini saya namakan sangkar sembelih mudah alih, direka berdasarkan pengalaman sendiri mengendalikan lembu korban setiap tahun sebagai jemaah Masjid Ar Raudah di Sungai Batu Pahat, Kangar.


TIMBALAN Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching (dua dari kiri) ketika merasmikan majlis Pembukaan Persidangan MABBIM di Wisma DBP, Kuala Lumpur. - NSTP/Nadim Bokhari

TIMBALAN Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah (tengah) diberi penerangan berkaitan sistem hidraulik pada sangkar sembelih mudah alih. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

"Tanpa peralatan khas ini, proses penyembelihan mengambil tempoh panjang. Bayangkan jika jumlah lembu korban banyak di sesebuah ke atas bagi satu-satu masjid, proses melapah dan membahagi-bahagikan daging korban juga akan menjadi lebih lama," katanya.

Sangkar berkenaan mulanya dikendalikan secara manual pada tahun 2011, sebelum ditambah baik Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) menggunakan mesin hidraulik.

Rekaan Hamzan juga terpilih menyertai pertandingan kelolaan YIM dan berjaya memenangi tempat pertama, dengan hadiah wang tunai RM20,000.

Susulan kejayaan itu, rekaannya menarik minat Technology Park Malaysia Corporation Sdn Bhd (TPM), agensi di bawah MOSTI untuk membantunya memajukan rekaan terbabit.

Bekas pelajar kimpalan Institut Kemahiran MARA Lumut, Perak berkata, penggunaan sangkar berkenaan mengurangkan risiko kecederaan kepada manusia dan haiwan sembelihan.


HAMZAN mengendalikan sistem hidraulik pada sangkar sembelih mudah alih. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

Katanya, ia juga mengurangkan 'tekanan' kepada haiwan sembelihan, terutama ketika hendak direbahkan sebelum disembelih.

"Sangkar sembelihan ini mengurangkan keperluan tenaga manusia untuk memegang lembu korban, berbanding kebiasaannya memerlukan empat atau lima orang.

"Dua atau tiga orang saja diperlukan untuk membawa seekor lembu korban masuk ke dalam sangkar sembelih hidraulik yang akan 'memegang' badan lembu itu. Teknologi hidraulik pada sangkar ini membolehkan lembu korban itu diturunkan secara mengiring seterusnya disembelih," katanya.

Beliau gembira melihat ciptaannya itu memberi manfaat kepada orang ramai, khususnya dalam pelaksanaan ibadat sembelihan korban yang dituntut dalam Islam.

Tambah Hamzan, peralatan itu mudah digunakan kerana beroperasi secara hidraulik yang membolehkan sangkar diturunkan sehingga 180 darjah.


HAMZAN mengendalikan sistem hidraulik pada sangkar sembelih mudah alih ketika Program Pelancaran Projek MSI Sangkar Sembelihan Mudah Alih di Masjid Ar Rabbani, Tangga Batu, Melaka. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

TIMBALAN Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah (tiga dari kiri) cuba mengendali sistem hidraulik pada sangkar sembelih mudah alih ketika Program Pelancaran Projek MSI Sangkar Sembelihan Mudah Alih di Masjid Ar Rabbani, Tangga Batu, Melaka. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

"Selain itu, ada lubang boleh laras yang sesuai dengan saiz kepala lembu untuk proses menyembelih dan dilengkapi empat tayar sebagai roda memudahkan pengguna menarik sangkar itu mengikut lokasi yang dikehendaki," katanya.

Hamzan turut berhasrat mengkomersialkan sangkar ciptaannya ke pasaran luar negara bagi meluaskan penggunaan sangkar sembelihan mudah alih di negara Islam.

"Sangkar sembelihan mudah alih manual dijual pada harga RM12,000 seunit, manakala hidraulik pula RM30,000.

"Saya berharap, adanya produk inovasi ini, generasi muda akan berminat membabitkan diri dalam bidang penternakan, sekali gus mendorong mereka untuk mereka cipta produk baharu yang mampu memberi manfaat kepada orang ramai, khususnya umat Islam,"katanya.

Berita Harian X